Dakwah menerusi dialog antara agama

Masyarakat perlu lebih terbuka bincang isu demi kepentingan bersama

UMAT Islam perlu mengikis rasa curiga dan prasangka sebaliknya bersikap terbuka ke arah mewujud hubungan lebih sihat dengan bukan Islam di negara ini termasuk mengadakan dialog antara agama.

Timbalan Ketua Pengarah Eksekutif, Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia (IAIS), Prof Datuk Dr Osman Bakar, berkata keengganan umat Islam mengadakan dialog antara agama disebabkan bimbang campur tangan pihak lain dalam urusan agama Islam.
Namun katanya, forum yang mengumpulkan wakil pelbagai agama untuk duduk semeja dan berbincang boleh meningkatkan kefahaman mengenai agama masing-masing serta menyelesaikan konflik yang timbul disebabkan sikap jahil.
“Kita perlu faham dialog antara agama bertujuan bertukar fikiran mengenai pandangan agama bagi mewujudkan persefahaman bukan membicarakan soal membawa kepada perumusan dasar berkaitan amalan agama di negara ini.

“Pada saya, dalam konteks Malaysia, perlu ada forum di mana wakil pelbagai agama boleh berbincang isu berkaitan kepentingan bersama bagi mewujudkan persefahaman dan keamanan di kalangan masyarakat berbilang agama,” katanya.

Katanya, inti pati perbincangan juga perlu jelas iaitu mencari isu yang menjadi kepentingan bersama seperti perkara menjadi ancaman terhadap institusi keluarga daripada pandangan pelbagai agama supaya kebimbangan dapat dikongsi dan diatasi dengan berkesan.

Prof Osman mengulas pendekatan bukan Islam di Jerman yang menggunakan dialog antara agama sebagai jambatan menghubungkan mereka dengan umat Islam di sana dan bersama mencari penyelesaian terhadap masalah dihadapi masyarakat Islam sebagai kumpulan minoriti.
Beliau yang ditemui pada Seminar Antarabangsa Jerman dan Budaya Islam di IAIS baru-baru ini berkata, dialog adalah salah satu kaedah dakwah yang berkesan untuk menyampaikan ajaran Islam serta berkongsi perspektif Islam kepada bukan Islam.

Pada seminar itu, pensyarah Universiti Frankfurt am Main Jerman, Prof Emeritus Rotraud Wielandt, berkongsi pengalaman masyarakat Kristian di negara itu yang mengajak masyarakat Islam berdialog untuk lebih memahami antara satu dengan lain.

Katanya, inisiatif penting diambil wakil masyarakat Kristian dan Islam itu membuka ruang mereka menyumbang ke arah melahirkan suasana hidup lebih harmoni dengan mencari kesamaan yang boleh merapatkan lagi hubungan walaupun berbeza agama.

“Walaupun inisiatif dimulakan Persidangan Pembesar Gereja Khatolik untuk mengadakan pertemuan dengan wakil pertubuhan Muslim di sana, kini kedua-dua belah pihak bersama merancang mengadakan pertemuan. Ini perkembangan penting,” katanya.

Katanya, topik perbincangan tidak terhad kerana jika yang datang adalah pakar dalam bidang teologi, mereka akan membincangkan konsep ketuhanan serta mencari titik persamaan yang boleh membawa kepada persefahaman antara dua agama.

Buat masa ini, perkara yang menjadi perbahasan ialah pendidikan agama Islam di sekolah dan keadilan sosial yang memastikan setiap rakyat negara itu mendapat hak serta keadilan tidak kira latar belakang atau agama.

Justeru, Prof Wielandt berkata, dialog antara agama dalam masyarakat pelbagai agama dan bangsa digalakkan dengan syarat semua pihak terbabit termasuk masyarakat akar umbi di setiap peringkat.

“Di Bamberg tempat saya tinggal, ada inisiatif kalangan wanita muda diterajui ibu Muslim, wanita Yahudi dan Kristian yang berjumpa dan berkongsi pengalaman mengenai agama masing-masing serta cara meraikan perayaan amalan agama.

“Inisiatif kecil ini menghasilkan perubahan besar kerana dapat menghilangkan perasaan terasing. Malah, perjumpaan ibu itu secara tidak langsung mendedahkan anak-anak dari kecil kepada hubungan baik dalam masyarakat majmuk,” katanya.

Katanya, dialog antara agama tidak perlu dimulakan oleh ketua atau pakar dalam bidang agama kerana semua pihak boleh menyumbang dengan melakukan inisiatif menjalinkan hubungan persefahaman melalui interaksi sesama mereka.

Prof Osman berkata, masyarakat negara ini boleh mengadaptasi apa yang dilakukan masyarakat bukan Islam Jerman dalam usaha mewujudkan kehidupan harmoni serta mencari penyelesaian dengan menganjurkan dialog antara agama.

Oleh itu katanya, umat Islam perlu lebih terbuka kepada cadangan mengadakan perjumpaan dan perbincangan dalam suasana sihat, melihat kepada isu menjadi kepentingan bersama.

“Lupakan dulu suruhanjaya, kita mula dengan dialog. Jangan cari isu sensitif tetapi tumpukan kepada perkara membabitkan kepentingan bersama kerana Islam ada pandangannya dan agama lain juga ada pandangan mereka,” katanya.

Intelek Islam terkenal, Prof Dr Ali Al-Amin Mazrui pada Syarahan Perdana Putrajaya (SPP) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), menggariskan tujuh tonggak utama bagi mencapai abad Islam.

Salah satu daripada tujuh tonggak yang dijelaskan dalam syarahannya bertajuk ‘Abad Muslim – Mitos atau Realiti Pencarian Tonggak Kebijaksanaan Moden’ itu ialah dialog serta kerjasama antara agama.

Tonggak lain, keperluan sikap tolak ansur serta meminimumkan keganasan; mengoptimumkan kesejahteraan ekonomi penduduk; keadilan sosial; kesamarataan gender; keseimbangan ekologi dan pencarian terhadap kebijaksanaan selanjutnya.

sumber ~ http://www.bharian.com.my/

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s