Keterbukaan sikap memahami konsep kemajmukan

Oleh Hasliza Hassan

Deklarasi Madinah bukti kejayaan Rasulullah menyatu padu Yahudi, Kristian serta iktiraf kebebasan beragama

KEMAJMUKAN memang menjadi amalan di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama. Walaupun tidak dinafikan wujud konflik, kerajaan sentiasa bersedia menghadapi cabaran serta cuba memperbaiki keadaan.

Bagaimanapun, perkembangan semasa menunjukkan realiti penerimaan serta kefahaman mengenai kemajmukan lebih baik 30 tahun dulu berbanding sekarang kerana masyarakat kini dilihat semakin terpisah jauh antara satu sama lain. Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia (IAIS), Prof Dr Hashim Kamali, berkata keadaan itu berlaku disebabkan perubahan cara memahami maksud majmuk yang sebenar.
Katanya, ramai merujuk majmuk kepada kesediaan masyarakat daripada agama serta budaya berbeza berada di satu tempat yang sama sedangkan erti kemajmukan sebenar memerlukan setiap anggota masyarakat membabitkan diri secara aktif.

“Kemajmukan juga sebenarnya bukan hanya bersedia bertolak ansur tetapi berusaha memahami dan memastikan pihak satu lagi juga cuba faham. Dalam cubaan itu pula mesti tiada pihak yang bertindak ingin mendominasi,” katanya.

“Justeru makna kemajmukan tidak akan berubah tetapi bagaimana masyarakat ingin menjalani kehidupan bersama berlainan bangsa, agama serta latar belakang itu yang menentukan berjaya atau tidak konsep hidup dalam masyarakat majmuk,” katanya.
Katanya, untuk memahami maksud kemajmukan sebenar dan menangani konflik dikaitkan dengan perbezaan serta kepelbagaian itu, rakyat tidak kira bangsa atau agama di negara ini perlu memiliki sikap keterbukaan.

Beliau yang mengupas tajuk ‘Islam dan Kemajmukan: Pengalaman Malaysia’ pada Seminar Antarabangsa Jerman dan Budaya Islam berkata, keterbukaan penting kerana kemajmukan membabitkan gabungan agama, bangsa, budaya, undang-undang dan kedudukan politik.

Seminar dua hari anjuran bersama IAIS dan Kedutaan Besar Jerman di Kuala Lumpur kelmarin, bertujuan memberi kefahaman serta mendedahkan masyarakat mengenai perkembangan Islam di Jerman dalam pelbagai aspek dan membina hubungan baik kedua-dua negara.

Merujuk konsep masyarakat majmuk di Malaysia, Prof Hashim berkata, negara ini mempunyai rekod yang baik dari segi hubungan harmoni antara masyarakat pelbagai bangsa dan agama melalui interaksi serta persahabatan yang terjalin.

Namun, aliran membimbangkan dalam hubungan antara bangsa dan agama sekarang ini nyata sekali boleh merosakkan rekod baik dimiliki Malaysia menyebabkan perlunya polisi serta langkah tegas untuk membendung hilangnya semangat tolak ansur.

“Isu utama bukan mengenai undang-undang atau perlembagaan tetapi bagaimana rakyat berbilang bangsa dan agama ini berinteraksi serta bersikap terbuka memenuhi keperluan yang menjadi kepentingan pihak lain.

“Sekarang ini kemajmukan itu berada dalam lingkungan tersendiri apabila pelbagai komponennya menjadi faktor penghalang setiap pihak meluahkan perasaan. Setiap agama dan budaya mengehadkan ruang kepada agama lain,” katanya.

Katanya, Islam sendiri tidak menghalang kepelbagaian dan kemajmukan malah menyediakan nasihat proaktif untuk masyarakat menghargai perbezaan bahasa, budaya, adat, melalui semangat menghargai selain cuba mencari persamaan.

Deklarasi Madinah adalah garis panduan terbaik membuktikan kejayaan kemajmukan kerana sejarah menunjukkan Nabi Muhammad boleh hidup harmoni dengan masyarakat Yahudi dan Kristian serta mengiktiraf kebebasan beragama selain memelihara hak mereka.

Keadaan itu mungkin sesuai dikaitkan dengan umat Islam di Jerman sekarang yang menjadi kumpulan minoriti tetapi pada masa sama ingin memastikan kebebasan mengamalkan ajaran agama serta hak mereka terus terjamin.

Pensyarah Universiti Frankfurt am Main Jerman, Prof Emeritus Rotraud Wielandt, berkata Muslim di Jerman tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dalam masyarakat berbilang agama walaupun tidak semua keperluan mereka dapat dipenuhi.

Katanya, sejak lima tahun lalu, pakar agama Kristian dan Islam sering mengadakan perjumpaan bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan kedua-dua pihak serta mengkaji perbezaan antara agama daripada sudut akademik.

“Hasil daripada perbincangan itu disebarkan kepada ahli masing-masing supaya mereka tahu asas kepercayaan, amalan keagamaan serta gaya hidup masing-masing,” katanya yang membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Muslim Dalam Masyarakat Majmuk: Pengalaman Jerman’.

Beliau berkata, walaupun asasnya hubungan masyarakat majmuk di sana nampak positif tetapi ada kala wujud masalah oleh sesetengah pihak sama ada antara sedar atau tidak hingga menimbulkan kemarahan pihak lain.

Beliau memberi contoh insiden penerbitan rencana oleh Gereja Protestant yang menimbulkan kemarahan umat Islam hingga merenggangkan hubungan antara wakil Kristian dan Islam serta tindakan kumpulan kecil Kristian menyebarkan risalah menimbulkan prejudis terhadap orang Islam.

Bagaimanapun, salah faham atau tidak bersetuju dengan tindakan pihak sebelah itu selalunya tidak berlanjutan dalam tempoh lama dan ini membuktikan umat Islam boleh hidup harmoni dengan masyarakat bukan Islam.

Prof Wielandt berkata, berdasarkan kajian serta hubungan secara langsung dengan masyarakat Islam di Jerman, mendapati mereka gagal untuk bersatu disebabkan perbezaan identiti yang berasaskan kepada negara asal.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan umat Islam di Jerman tidak mempunyai satu badan atau organisasi yang boleh menyuarakan hasrat dan berjuang mendapatkan hak seperti pendidikan agama Islam di sekolah.

“Umat Islam di Jerman kena pilih nak masuk kumpulan mana dan selalunya berpandukan negara asal macam Muslim Turki dan Muslim Pakistan. Akibatnya mereka gagal menubuhkan satu organisasi mewakili semua umat Islam daripada latar belakang berbeza. Jadi tiada satu suara Muslim,” katanya.

Katanya, semua pihak sepatutnya mematuhi peraturan untuk memastikan semangat hidup bermasyarakat walaupun berbeza bangsa dan agama iaitu memaksimumkan perasaan hormat menghormati.

Sumber dari http://www.bharian.com.my

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s