Akta sihir wajar mencakupi sivil, syariah

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

Syor Jabatan Peguam Negara tubuh badan khas mampu elak gejala merebak

MINGGU lalu kerajaan disaran menggubal Akta Kesalahan Jenayah Sihir bagi membendung amalan sihir yang semakin berleluasa dewasa ini. Ramai memberi komentar berkaitan isu itu yang turut menarik perhatian saya sebagai pengamal undang-undang sivil dan syariah.
Sihir iaitu ilmu diperkenalkan syaitan kepada manusia akan mengundang kemudaratan sama ada kepada orang yang mengamalkan ataupun mangsanya.
Click Here
Menurut Datuk Dr Haron Din, sihir adalah ilmu tersembunyi, seni yang memerlukan kemahiran khusus menerusi tumpuan kepada amalan kebatinan secara berhubungan dengan makhluk halus untuk mendapatkan kekuatan batin.

Pengamal sirih boleh menghasilkan perkara luar biasa, mencarik adat, memukau dan mangsa mematuhi apa saja kehendak pengamalnya dengan terpaksa.

Wahid Abdul Salam Bali pula mengatakan, sihir adalah permuafakatan dan persetujuan antara ahli sihir dengan syaitan untuk bersama melakukan sesuatu yang diharamkan Allah SWT bagi mengenakan kemudaratan terhadap mangsa menerusi amalan syirik kepada Allah SWT.

Ibnu Khaldun pula berpandangan sihir adalah ilmu untuk menghasilkan kesan negatif terhadap mangsa dengan menggunakan anasir jahat daripada kekuatan kuasa ghaib (makhluk halus) atau sebagainya bagi tujuan jahat secara tersembunyi.
Al-Quran dan al-Sunnah ada menyebut mengenai ilmu sihir ini. Malah Rasulullah sendiri diriwayatkan pernah disihir oleh kaumnya. Dalam Islam, sihir memang dilarang dan membawa kepada kekufuran.

Jika syor penggubalan Akta Kesalahan Jenayah Sihir diterima kerajaan, Malaysia bukan negara pertama yang akan menggubal akta kesalahan jenayah sihir. Beberapa negara lain seperti China, Afrika dan Amerika Latin sudah mempunyai undang-undang kesalahan sihir. Malah, Australia juga pernah mempunyai undang-undang sama tetapi sudah dimansuhkan pada 2008.

Berbalik kepada syor menjadikan sihir suatu kesalahan jenayah, saya bersetuju dengan saranan sedemikian. Namun, beberapa aspek perlu dilihat bagi memperkemaskan undang-undang itu.

Undang-Undang membanteras amalan sihir tidak hanya perlu dilihat dari kacamata undang-undang jenayah, tetapi hendaklah juga terpakai kepada undang-undang lain sama ada sivil ataupun syariah kerana sihir juga berlaku dalam keluarga, perniagaan dan persahabatan.

Sihir bukan saja membabitkan orang Islam, bukan Islam juga ramai mengamalkannya. Masyarakat bukan Islam di Malaysia dan di luar negara juga tidak asing daripada gejala sihir. Oleh itu, jika sihir diletak di bawah ruang lingkup Mahkamah Syariah jika diperkenalkan, bukan Islam akan terlepas dari kawalan undang-undang itu. Undang-Undang ini haruslah mencakupi Mahkamah Syariah dan Sivil.

Saya berpandangan pembuktian adalah masalah paling utama bagi mensabitkan kesalahan mengamalkan sihir disebabkan sihir menggunakan makhluk halus yang tidak dapat dilihat mata kasar.

Kesukaran membuktikan sihir sebenarnya berlaku di dua peringkat iaitu pertama, bagi membuktikan amalan itu adalah sebenarnya amalan sihir. Kedua, bagi membuktikan orang itu mengamalkan sihir dan terkena kepada mangsa tertentu.

Sudah pasti isu ini mendatangkan kesukaran bagi pihak berkenaan membuktikannya di mahkamah. Jalan bijak pada pandangan saya ialah pihak berkenaan menubuhkan badan khas dianggotai pakar berkredibiliti tinggi termasuk kalangan ulama.

Mereka ini disaring dan dipastikan benar-benar mempunyai kepakaran dalam bidang itu dan diberi tanggungjawab untuk memperakukan mengenai amalan sihir serta kesannya. Perakuan dan asas perakuan itu dibawa ke mahkamah dan diterima oleh mahkamah sebagai keterangan yang konklusif.

Dengan cara itu, pakar ini tidak disoal balas di mahkamah dan tidak tertakluk kepada prosedur rumit pembuktian di mahkamah seterusnya dapat membantu mahkamah membuat keputusan yang tepat.

Menurut Dr Haron, ilmu sihir yang dikatakan sudah muncul sejak zaman Nabi Idris lagi bukan saja diharamkan Islam malah agama lain seperti Yahudi dan Nasrani.

Memang selama ini tidak ada undang-undang yang menjadikan satu kesalahan bagi mengamalkan sihir. Natijahnya, amalan sihir berleluasa dan mangsa sihir kian bertambah. Sudah sampai waktunya kerajaan mengambil inisiatif memastikan gejala sihir tidak terus merebak.

Bagaimanapun, syor di atas perlu diteliti dengan mendalam bagi mengelak undang-undang ini diperlekehkan dan sabitan kes jenayah sihir menjadi suatu yang terlalu ideal. Saya mengesyorkan satu jawatankuasa khas ditubuhkan Jabatan Peguam Negara yang dianggotai oleh ulama dan pakar perundangan Islam.

Dengan cara ini undang-undang bakal digubal akan menjadi undang-undang yang komprehensif, dinamik dan boleh menyekat amalan khurafat dan syirik seperti sihir. Walaupun nampak sukar untuk dilaksanakan, masih ada ruang yang boleh dimanfaatkan dari sudut undang-undang, prosedur dan keterangan bagi melaksanakan kawalan terhadap fenomena sihir ini.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).
Sumber dari  http://www.bharian.com.my/

Advertisements

One thought on “Akta sihir wajar mencakupi sivil, syariah

  1. assalamualaikum…
    saya amat tertarik dgn petikan tuan. saya adalah antara insan yg dlm dilema dgn benda2 sihir yg selalu dikaitkan dgn saya. padahal, saya tidak pernah terfikir utk membenarkan diri saya terjebak dlm penggunaan sihir malah saya tidak pernah mempercayai akan kekuatan sihir.apatah lagi utk penggunaan dlm menjalani kehidupan berumahtangga. saya adalah isteri kedua dan saya hanya dpt menjalani kewajipan sbg isteri hanya selama 6 bln. ini kerana perkahwinan saya tidak diketahui oleh isteri pertama. bln ke 7, isteri pertama mendapat tahu akan perkahwinan saya. namun suami saya tidak dpt mengatasi masalah. isteri pertama menuduh saya mengamalkan ilmu sihir sehingga membuatkan suami dia mengahwini saya. setelah 17 bln berumahtangga, suami saya melafazkan talak pada saya. namun sehingga kini si isteri masih menuduh saya mengamalkan ilmu sihir, dgn alasan saya cuba mengganggu rumahtangga mereka. saya menjadi buntu dan tidak tahu utk mndapatkan nasihat dari siapa? apakah yg harus saya lakukan utk mempertahankan diri dan juga maruah saya. walaupun saya dituduh merampas suami, saya masih boleh tahan. tapi, bila ia dikaitkan dgn ilmu sihir, saya betul2 rasa terhina. tolong la saya..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s