Skim Ar Rahnu mantapkan usahawan kecil serantau

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

Pengusaha guna wang diperoleh menerusi gadaian sebagai modal pusingan bagi perniagaan

SKIM Ar Rahnu, program mikro kredit berasaskan pajak gadai Islam terbukti berjaya membantu memantap dan memperkukuhkan usahawan kecil di negara anggota Sekretariat Ar Rahnu Serantau iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei dan Thailand.
Justeru, cakap-cakap mengatakan skim Ar Rahnu tidak membantu golongan peniaga dilihat tidak berasas kerana Kajian Keberkesanan Skim Ar Rahnu dalam Memantap dan Memperkukuh Usahawan Kecil di Negara Serantau menunjukkan sebaliknya.
Click Here
Setiausaha Agung Sekretariat Ar Rahnu Serantau, Dr Abd Malek Awang Kechil, berkata majoriti responden yang membuat gadaian menggunakan wang yang diperoleh sebagai modal pusingan bagi perniagaan mereka.

Katanya, majoriti responden di Thailand menggunakan wang daripada skim Ar Rahnu untuk mengembangkan perniagaan yang sudah dijalankan dan ini membuktikan skim mikro kredit itu memberi manfaat kepada golongan sasar terdiri daripada kalangan usahawan kecil dan sederhana.

“Berdasarkan kajian, maklum balas diterima menunjukkan responden yang memperoleh pembiayaan mendapat faedah daripada skim ini. Buktinya kita dapat lihat daripada pengakuan responden yang akan meneruskan penggunaan pembiayaan skim Ar Rahnu.

“Majoriti yang membuat gadaian menggunakan pembiayaan untuk mengembangkan perniagaan. Jadi, ini mengukuhkan pandangan bahawa skim mikro kredit ini berjaya membantu masyarakat terutama yang berkecimpung dalam perniagaan,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) berkata demikian selepas Mesyuarat Sekretariat Ar Rahnu Serantau 2010 yang diadakan di Hotel Rizqun International, Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam, baru-baru ini.

Brunei menjadi tuan rumah bagi mesyuarat kali ini yang dihadiri negara anggota sekretariat, Malaysia, Indonesia, Thailand, Kemboja dan Timur Leste. Mesyuarat dipengerusikan Pengarah Urusan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Javed Ahmad Kamil Hassan.

Sekretariat Ar Rahnu Serantau bermula dengan resolusi dikeluarkan pada Kemuncak Konvensyen Ar Rahnu Serantau 2002 bersempena Minggu Pembangunan Ekonomi Islam (MPEI) pada 26 hingga 31 Oktober 2002 di Kuala Lumpur.

Objektif penubuhannya untuk menjadi satu forum peringkat serantau yang menyelaras operasi pajak gadai Islam, membantu menyelesaikan isu berbangkit di negara serantau dan membantu urusan penganjuran seminar, diskusi atau konvensyen memperkenal, memaju serta memantau pelaksanaan skim Ar Rahnu dalam kalangan anggota sekretariat.

Abd Malek berkata, Kajian Keberkesanan Skim Ar Rahnu dalam Memantap dan Memperkukuh Usahawan Kecil di Negara Serantau dijalankan di empat negara iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei dan Thailand, dengan menemu bual usahawan di negara berkenaan.

Kajian lapangan dilaksanakan YaPEIM di Malaysia, Perum Pengadaian di Indonesia, Bank Islam Brunei Darussalam (Brunei) dan Koperasi Islam Pattani Berhad (Thailand).

Hampir kesemua 332 responden terbabit dalam kajian iaitu 95.8 peratus di Malaysia, 100 peratus (Brunei dan Indonesia) dan 89.7 peratus (Thailand), beranggapan skim Ar Rahnu amat baik kepada mereka kerana mengenakan upah simpan yang rendah, mudah dan cepat serta mengikut syariat Islam.

“Sebenarnya amalan pajak gadai memang sudah menjadi sebahagian amalan dalam masyarakat sejak dulu dan ternyata ia berkesan membantu golongan memerlukan. Jika dulu mungkin ada yang ragu-ragu tetapi sekarang pihak mendapat manfaat yakin dengan skim Ar Rahnu atau lebih mudah difahami sebagai pajak gadai Islam,” katanya.

Katanya, dalam konteks Malaysia sendiri, YaPEIM menyasarkan untuk memperluaskan penawaran perkhidmatan sekurang-kurangnya satu cawangan bagi satu kawasan Parlimen termasuk Sabah dan Sarawak dengan jumlah keseluruhan ialah 274 cawangan pada 2012.

Pada masa sama, YaPEIM terus meneroka teknologi serta inovasi baru untuk pengujian emas mengikut perkembangan semasa khususnya dalam aspek pengujian emas. Kini YaPEIM mempunyai 20,000 yang menyertai kelab usahawan Sahabat YaPEIM.

Abd Malek berkata, bagi meningkatkan keberkesanan program itu, masyarakat perlu diberi kefahaman mengenai program mikro kredit berasaskan Ar Rahnu bertujuan membantu pihak memerlukan supaya tidak terus terbelenggu dalam masalah kewangan yang dihadapi.

Beliau berkata, ini termasuk mendidik masyarakat membuat perancangan jangka panjang seperti menyimpan barang berharga yang tidak susut nilai sebagai jaminan apabila menghadapi masalah atau kecemasan.

“Oleh itu, apabila ada duit lebih sikit, rancang supaya tiba saat memerlukan, kita ada barang boleh digunakan sebagai jalan keluar. Orang tua dulu walaupun tidak ada pelajaran tetapi mereka membuat perancangan yang baik.

“Bila ada duit lebih sikit, beli kambing, bela kambing. Ada lebih lagi, bela lembu pula dan rezeki bertambah, beli pula tanah. Apabila saat memerlukan, yang ada itu mereka jadikan sebagai sumber kewangan. Dalam skim Ar-Rahnu, emas dijadikan barang gadaian,” katanya.

Pada Mesyuarat Sekretariat Ar Rahnu Serantau 2010 yang bertemakan Ke Arah Pengukuhan Kerjasama Serantau itu, ahli mesyuarat mencapai kesepakatan:

# Menerima Program Mikro Kredit Ar Rahnu sebagai wahana berkesan meningkatkan keupayaan komuniti dalam kerangka membangun sosio ekonomi ummah dan memastikan wujudnya komuniti yang lestari;

# Terus berkerjasama merealisasikan objektif sekretariat yang digariskan selaras misi membangun kumpulan sasar di rantau ini;

# Menjadikan program Ar Rahnu sebagai suatu pendekatan/wahana yang berkesan dalam menjayakan misi perniagaan dan sosial.

Abd Malek berkata, bagi memastikan kesepakatan itu berjaya dilaksanakan, sekretariat akan memberi perhatian utama kepada program mikro kredit Ar Rahnu dengan meneruskan usaha memantap dan mengembangkan program itu.

Malah katanya, semua anggota persidangan sebulat suara menyatakan komitmen bagi mendokong dan memantapkan perjalanan sekretariat seterusnya berusaha menjayakan resolusi, deklarasi dan keputusan dicapai melalui siri persidangan serta mesyuarat yang dianjurkan.

“Ini termasuklah melaksanakan pertukaran pengalaman antara anggota sekretariat dalam memajukan Program Mikro Kredit Ar Rahnu, serta meneroka idea baru melalui kajian ilmiah yang terus menjadi perhatian dan pendekatan utama pada masa depan,” katanya.

Katanya, negara anggota sekretariat juga bersetuju Mesyuarat Sekretariat Ar Rahnu Serantau akan datang yang dijadualkan pada 2012 diadakan di Thailand.

Sumber dari Berita Harian Online – http://www.bharian.com.my/

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s