Perkhidmatan sheikh haji wujud sejak zaman Hang Tuah

Oleh Aiza Maslan @ Baharudin

ORANG Melayu sememangnya sudah maklum dan menggunakan perkhidmatan ‘sheikh haji’ sejak beberapa kurun lalu. Sheikh haji adalah organisasi popular dan berperanan penting dalam hal-ehwal pengurusan haji.

Catatan awal mengenai sheikh haji terdapat dalam naskhah Melayu lama seawal abad ke-15 lagi. Hikayat Hang Tuah umpamanya memaparkan peranan dimainkan Malek R.s.t.l di Makkah dan Sheikh Jamaluddin di Madinah dalam menjaga kebajikan rombongan Hang Tuah.
Dalam Tuhfat al-Nafis turut digambarkan bagaimana rombongan Raja Ahmad dan Raja Ali Haji disambut serta ditawarkan perkhidmatan oleh Sheikh Ismail, Sheikh Ahmad Mushaffi dan wakil Sheikh Daud di Jeddah.
Raja Ahmad akhirnya memilih Sheikh Ahmad Mushaffi yang berketurunan Bugis bagi memudahkan interaksi antara mereka.

Sistem sheikh diwujudkan bagi memenuhi keperluan jemaah haji yang datang dari seluruh dunia untuk membimbing melaksanakan tuntutan haji, membantu memahami selok-belok kehidupan di Tanah Suci sekali gus menyediakan kemudahan penginapan, makan minum dan pengangkutan sepanjang musim haji.

Gelaran sheikh haji hanya digunakan oleh orang Melayu di Asia Tenggara, namun dalam persuratan dan urusan rasmi, istilah broker haji lebih kerap digunakan.

Jemaah haji Tanah Melayu diletak di bawah pengawasan sheikh haji yang dikhususkan bagi taifah Asia Tenggara. Dengan pelaksanaan sistem taqrir yang menetapkan sheikh haji mengikut daerah tertentu mewujudkan gelaran sheikh haji mengikut kawasan seperti Sheikh Ahmad Lampong atau Sheikh Hussin Jambi.
Sheikh haji biasanya boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan Jawa berdasarkan pengalaman mereka menetap di kawasan berkenaan atau mengahwini wanita daripada komuniti Melayu-Indonesia yang bermastautin di Hijaz.

Sheikh haji di Tanah Melayu sebahagian besarnya terdiri daripada keturunan Arab yang berkhidmat bagi pihak sheikh haji di Tanah Suci. Ada sebilangannya bergerak bebas tanpa terikat.

Mereka ini mengatur perjalanan jemaah haji, mendapat bayaran sagu hati daripada syarikat perkapalan, menemani jemaah haji ke Tanah Suci dan menyerahkan jemaah haji kepada sheikh haji Tanah Suci yang diwakili mereka.

Ada juga antara mereka menyerahkan jemaah haji kepada sheikh haji Tanah Suci yang menawarkan bayaran lebih tinggi. Kebanyakan mereka berpusat di Singapura, Pulau Pinang dan bergerak ke seluruh Semenanjung Tanah Melayu serta negara jiran.

Jemaah haji Melayu biasanya bertemu sheikh haji ketika mereka mengadakan kempen di kampung.

Ada juga memilih sheikh haji berdasarkan syor oleh sanak-saudara dan rakan yang berpuas hati dengan perkhidmatan sheikh haji terbabit. Selain itu, guru pondok turut berperanan menentukan sheikh haji bagi pelajarnya yang akan menunaikan fardu haji.

Selepas pemilihan sheikh haji dan pembayaran dilakukan, kontrak itu tidak dapat diubah dan jemaah haji akan kekal di bawah pengawasan sheikh haji itu sehingga selesai musim haji.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Bahagian Falsafah dan Tamadun Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang

Sumber dari Berita Harian Online – http://www.bharian.com.my/

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s