Tebus talak imbangi kuasa suami, pertahan hak isteri

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

http://www.bharian.com.my (2011/11/09)

Nilaian bukan wang saja, boleh dalam bentuk harta atau manfaat bernilai dengan mahar

PERCERAIAN bukanlah satu perkara yang menarik untuk dibincangkan, lebih-lebih lagi bagi pasangan yang baru saja mendirikan rumah tangga. Walau bagaimanapun, perceraian menjadi isu utama dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Ada sebab mengapa pasangan mengambil keputusan untuk bercerai dan pembubaran perkahwinan itu boleh berlaku dalam pelbagai cara seperti jatuhnya talak dengan cara baik, melalui fasakh, taklik atau tebus talak.

Malangnya, ramai tidak memahami perceraian tebus talak atau khuluk yang membabitkan permintaan isteri untuk diceraikan dengan cara menebus hak talak daripada suami dan isteri akan membayar mengikut jumlah dipersetujui. Dalam kata lain, isteri membeli talak dari suami.

Tebus talak terjadi disebabkan kedua-dua pihak khuatir tidak dapat melaksanakan tanggungjawab dalam perkahwinan. Bagaimanapun, tebus talak hanya boleh berlaku dengan adanya alasan munasabah serta bukti yang kukuh.

Dari segi amalan perundangan di Mahkamah Syariah di negara ini, kebiasaannya permohonan perceraian dilakukan pihak isteri melalui permohonan bercerai dengan cara baik contohnya mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Jika suami tidak bersetuju untuk menceraikan isterinya, maka tawaran tebus talak boleh dilakukan terhadap suami ataupun tawaran oleh pihak suami kepada isteri.

Jika suami tidak bersetuju, kes akan dirujuk kepada jawatankuasa pendamai mengikut Seksyen 47 (5) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Jika suami bersetuju untuk melepaskan isteri melalui tebus talak yang ditawarkan, maka perceraian akan melalui proses biasa dan direkodkan perceraian secara tebus talak mengikut Seksyen 49 (2) Enakmen Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Mungkin ada yang tertanya berapakah jumlah bayaran tebus talak yang sewajarnya bagi pasangan bersetuju untuk bercerai secara tebus talak. Merujuk Seksyen 49 (3) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, mahkamah mempunyai kuasa untuk menentukan jumlah bayaran tebus talak mengikut hukum syarak, taraf pihak-pihak serta sumber kewangan mereka setelah melalui perbicaraan yang sewajarnya.

Contohnya, kes Talib lwn Sepiah, suami enggan menceraikan isteri walaupun dengan cara tebus talak. Oleh itu, mahkamah memutuskan kes itu dirujuk kepada pihak hakam malangnya selepas perbincangan serta rundingan, hakam gagal menyelesaikan kes itu. Hanya selepas perlantikan hakam kali kedua, suami bersetuju menceraikan isteri secara tebus talak sebanyak RM100,000.

Nilaian tebus talak bukan berdasarkan kepada wang semata-mata, nilaian tebus talak boleh juga dalam bentuk harta atau manfaat bernilai dengan mahar (mas kahwin) sama ada banyak mahupun sedikit. Namun, perlu ditekankan bahawa menjadi sunat kepada lelaki untuk mengambil tidak lebih daripada mahar (mas kahwin) yang diberikan kepada isteri mengikut beberapa pandangan ulama. Tebus talak boleh berlaku pada bila-bila masa walaupun ketika isteri dalam haid, berbeza dengan talak biasa yang memerlukan isteri berada dalam keadaan suci ketika lafaz talak dilakukan. Perceraian secara tebus talak tidak boleh dirujuk kerana dikira sebagai talak bain dan jika pasangan ini ingin bersama semula, mereka perlu akad nikah semula bagi menghilangkan kemudaratan yang berlaku pada tempoh perkahwinan itu.

Jika tebus talak dijatuhkan kepada talak raji’e yang boleh dirujuk, berkemungkinan suami boleh merujuk isteri dalam tempoh edah dengan tujuan memudaratkan isterinya. Tebus talak yang diberikan kepada isteri adalah sebagai mengimbangi kuasa talak yang ada pada lelaki. Jika lelaki tidak menyukai isterinya maka boleh digunakan talak bagi melepaskan isterinya dan sebaliknya jika isteri tidak menyukai suaminya, maka boleh digunakan tebus talak. Oleh itu, wanita khususnya pihak isteri seharusnya mengetahui hak mereka kerana perceraian tidak bergantung kepada lafaz talak oleh suami malah Islam juga memberi ruang kepada isteri untuk membubarkan perkahwinan melalui cara lain dan salah satunya adalah melalui tebus talak. Pihak lelaki juga seharusnya tidak bertindak zalim dengan meletakkan bayaran tinggi sebagai syarat kepada isteri melepaskan diri daripada ikatan perkahwinan.

Ini bersesuaian dengan firman Allah yang bermaksud: “Dan jika kamu hendak mengambil isteri (baru) menggantikan isteri (lama yang kamu ceraikan) sedangkan kamu telahpun memberikan kepada seseorang di antara (isteri yang diceraikan itu) harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil sedikitpun dari harta itu. Patutkah kamu mengambilnya dengan cara yang tidak benar dan (yang menyebabkan) dosa yang nyata? Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?” (Surah al-Nisa’, ayat 20-21)

Advertisements

Suami, isteri perlu bergerak seiring bentuk keluarga bahagia

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

TIADA siapapun yang mahu anak-anak menjadi liar dan membelakangi ajaran agama. Tentu mengaibkan dan menyedihkan hati ibu bapa seandainya

ada di kalangan anak-anaknya tempang perjalanan hidup di dunia tanpa suluhan cahaya agama yang luhur.

Tambahan pula, dewasa ini kita sedang berhadapan dengan gejala sosial yang amat gawat melanda remaja dan belia. Pelbagai langkah dan pendekatan

sudah dan sedang diambil bagi menanganinya, namun yang jelas semuanya seakan-akan tidak berkesan dalam membetulkan keadaan.
Orang pertama yang mesti memegang tanggungjawab sepenuhnya dalam memberikan pendidikan dan asuhan agama kepada anak-anak ialah ibu bapa.

Mungkin selama ini kita banyak membebankan golongan ibu dalam memikul amanah sebagai pembimbing dan pengasuh utama mendidik anak-anak.

Bagaimana dengan peranan ayah atau bapa?
Dalam hal ini Saidina Ali bin Abi Talib ada meninggalkan pesanan bernas dan bermanfaat kepada kita berhubung pendidikan kepada anak-anak. Kata

Ali kepada anaknya Hasan: “Aku segera mengajarmu adab sebelum hatimu menjadi keras dan fikiranmu menjadi sibuk memikirkan pelbagai perkara yang

lain.” Begitulah kesungguhan Saidina Ali dalam membentuk peribadi anaknya dan kata-kata beliau itu sewajarnya menjadi panduan kepada kita untuk

tidak meremehkan tanggungjawab menyalurkan asuhan akhlak yang mulia kepada anak-anak.

Imam Jaafar asy-Shafiq ada mengatakan: “Sesungguhnya sebaik-baik wasiat yang diwariskan oleh ayah untuk anak-anak mereka ialah adab dan

bukannya harta.”

Selama ini kita memikirkan bagaimana untuk menghimpunkan seberapa banyak harta benda sebagai harta untuk ditinggalkan kepada anak-anak apabila

kita sudah tiada di alam maya ini, namun sebenarnya ‘harta’ paling bernilai yang semestinya ditinggalkan buat anak-anak kita ialah sahsiah peribadinya,

akhlaknya, kekuatan ilmu pengetahuannya dan kesolehan beragama. Inilah yang seharusnya kita tinggalkan buat mereka. Imam Ali Zainal Abidin

as-Sajjad pula menegaskan: “Adapun hak anak-anakmu atas dirimu, ketahuilah ia berasal daripadamu, baik dan buruknya bergantung padamu.

Sesungguhnya engkau bertanggungjawab untuk mengasuhnya, mendidiknya, mengenalkannya kepada Tuhannya dan membantu untuk taat

kepada-Nya. Dan engkau mesti melaksanakan urusan ini dengan keyakinan bahawa jika berbuat baik kepadanya akan mendapat pahala dan jika berbuat

buruk kepadanya akan mendapat dosa.”

Dalam usaha kita mendidik dan mengasuh anak-anak mengerjakan segala suruhan agama dan membentuk adab, jangan lupa seringlah berdoa kepada

Allah agar kita dipermudahkan dan anak-anak akan dapat mengikutinya dengan sempurna. Imam Ali Zainal Abidin dikatakan selalu berdoa ketika

mendidik anak-anaknya dengan doa ini: “Dan tolonglah kami dalam mengasuh, mendidik dan memperbaiki anak-anak kami.” Insya-Allah dengan iltizam

yang kukuh dan semangat padu kita sebagai seorang bapa mampu membentuk peribadi anak-anak dengan berkesan dan menjadikan mereka anak-anak

yang soleh.
Seorang penyair dari Mesir iaitu Ahmad Syauqi melalui syairnya ada mengatakan: Anak yatim bukanlah yang diterlantarkan oleh kedua-dua ibu bapa

dalam kesusahan hidup dan ditinggalkan oleh keduanya dalam keadaan hina. Anak yatim itu seorang anak yang berada dalam asuhan ibu yang

mengabaikan norma dan ayah yang penuh kesibukan.

Justeru, dalam keadaan apapun, kita sebagai bapa tidak boleh meremehkan tanggungjawab kepada anak-anak. Fungsi seseorang bapa bukan sekadar

mencari nafkah dan memberikan kemewahan hidup, namun agenda yang mesti diutamakan ialah memastikan kita berganding bahu seiring dan senada

dengan isteri kita dalam mem-bahterakan alam rumah tangga dengan memberikan pendidikan paling sempurna yang kita termampu. Ingatlah ibu bapa

akan dipersoalkan di hadapan Allah nanti segala amanah terhadap anak-anak.

~sumber dari http://www.bharian.com.my/

Punca isteri terjebak maksiat patut dikaji

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Nik Saleh

APABILA tersiar kisah isteri ditangkap khalwat oleh suami serta isteri menjalinkan hubungan sulit dengan remaja lelaki, ia bukan saja memalukan kaum

hawa tetapi juga umat Islam seluruhnya.
Ketika kajian mengenai gejala sosial di kalangan remaja dijalankan pakar akademik dan pelajar di institusi pengajian tinggi, ‘ibu’ remaja pula turut sama

terjebak ke kancah kehidupan gelap. Oleh itu, wajar juga dilakukan kajian punca isteri menghampiri zina sedangkan boleh berkasih sayang dengan

suami masing-masing, malah mendapat keberkatan Allah SWT.
Ramai isteri yang tidak kasihkan suami. Ada juga berkahwin tanpa rasa cinta dan rasa hormat yang tinggi terhadap suami. Benar, ada yang baru

mengenali hati budi suami dan keluarganya hanya selepas majlis akad, sebab itulah banyak masalah dikatakan timbul selepasnya.

Tetapi kepada Muslimah yang arif ajaran agama, mereka akan berusaha sedaya upaya membina persefahaman dan keharmonian dalam rumah tangga,

malah menjadi benteng untuk menghalang anasir jahat yang mengganggu ketenteraman istana cinta mereka.

Apa pun alasan, ada caranya untuk membebaskan diri daripada ikatan perkahwinan tetapi tidak membebaskan diri daripada mentaati suami. Islam tidak

pernah membenarkan isteri menduakan suami yang halal dinikahinya ketika masih dalam tempoh perkahwinan, begitu juga suami.

Syuraih, seorang alim dan ahli fikah meriwayatkan bahawa beliau mengahwini seorang wanita dari Bani Handhalah. Pada malam pertama sebagai suami

isteri, mempelai menunaikan solat sunat dua rakaat dan memohon Allah SWT memberi kebaikan serta kesejahteraan kepada mereka.
Sesudah solat, si isteri menghadapkan wajahnya tepat ke arah suaminya Syuraih dan berkata: “Sesungguhnya aku adalah wanita yang asing bagimu

dan belum mengetahui kebiasaanmu. Terangkan apa yang menjadi kesukaanmu supaya aku dapat memberikannya dan jelaskan kebencianmu supaya

aku dapat menjauhinya.”

Meskipun tidak pernah mengenali antara satu sama lain, sebagai Muslim yang patuh kepada perintah agama, Syuraih mampu menjalankan

tanggungjawab sebagai suami dengan sebaiknya.

Ia ditambah pula dengan anugerah seorang isteri solehah, yang tahu mendiamkan dirinya di tempat paling sunyi di hati suaminya sehinggakan selama

20 tahun usia perkahwinan mereka, Syuraih tidak pernah melihat kecelaan pada isteri yang dinikahinya.

Walau bagaimana buruk pun seorang suami, jika boleh dinasihati dan mampu berubah ke arah kebaikan, isteri harus istiqamah memberi bimbingan.

Walaupun tugas mendidik isteri adalah tanggungjawab suami, isteri juga berkewajipan menasihati suami.

Kebanyakan isteri hari ini memiliki latar belakang pendidikan tinggi dan dengan ilmu yang ada memudahkan usaha mengharmonikan rumah tangga

melalui kerjasama suami, isteri serta keluarga.

Isteri perlu menjadi nilai tambah yang positif terhadap kekurangan suami.

Sering kali apabila berhadapan masalah atau tidak mendapat perhatian suami, isteri mula mencari keseronokan di luar syariat. Keadaan ini juga berlaku

disebabkan masing-masing tidak memenuhi tanggungjawab sehingga ada yang terabai.

Hubungan yang tidak syarie antara suami atau isteri dengan bukan mahram menjadi sesuatu yang biasa dalam masyarakat. Perbuatan ‘main kayu tiga’

kini bukan dilakukan lelaki atau suami saja, tetapi sudah berjangkit kepada isteri.
Isteri sudah berani menunjuk belang tanpa memikirkan harga diri, apatah lagi maruah suami dan masa depan anak.

Justeru, suami dan isteri mesti lebih prihatin terhadap pasangan masing-masing kerana pernikahan adalah ikatan yang mulia dan bukan perjanjian biasa.

Ia tidak akan terurai hanya kerana dunia dan pesonanya, malah perkahwinan merapatkan langkah kita ke syurga.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom

~sumber dari http://www.bharian.com.my/

Persefahaman suami isteri pupuk rumah tangga bahagia

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh

BANYAK kali penulis berkongsi rasa dengan isteri yang ditinggalkan suami, sering ditinggal suami dan akan ditinggal suami, penulis selalunya akan menasihati mereka supaya berubah, bersabar dan berdoa untuk kebahagiaan yang akan muncul juga akhirnya.

Insaf bahawa syurga dan neraka itu di bawah tapak kaki suami, kebanyakan mereka tidak menolak untuk menjadi lebih baik bagi suami. Jika mereka kekurangan, ada yang menyesal kerana buruk sangka, tidak kurang juga yang nekad untuk berpisah.

Yang paling membuatkan hati tersentuh ialah ada isteri merayu supaya tidak diceraikan suami sehinggakan sanggup menjadi orang gaji kepada isteri baru suami, semuanya demi zuriat yang mereka kongsi.

Hari ini banyak rumah tangga runtuh disebabkan pihak yang tidak mempunyai status dalam keluarga, bukan kerana suami, isteri mahupun anak, tetapi orang lain yang ingin merampas kebahagiaan sesebuah keluarga. Akibat tidak memahami poligami, sama ada suami mahupun isteri, maka mereka tidak mahu berkongsi kasih.

Apa yang berlaku, suami terpaksa membuat pilihan antara dua kerana cintakan nafsu, isteri yang sah dan anak ditinggalkan juga. Itulah yang menyedihkan, apabila ramai wanita teraniaya kerana berkahwin, sedangkan perkahwinan itu boleh menenangkan jiwa, mententeramkan hati dan memberi kedamaian batin kerana dapat hidup bersama dengan pasangan yang saling mengasihi, menyayangi dan saling melengkapi antara satu sama lain dengan penuh akrab.

Sudah tentu orang yang berakhlak baik tidak cuba memporak perandakan rumah tangga orang lain. Apatah lagi mendoakan perceraian, agar dapat mengahwini dengan bekas suami atau isteri orang. Rasulullah SAW melarang keras perbuatan itu melalui hadis Imam Bukhari dan Abu Hurairah: “Jangan kalian saling menipu dan jangan seseorang membeli barang yang akan dibeli saudaranya, jangan pula orang mukim membeli barang daripada orang kampung. Juga tidak pula seseorang melamar wanita yang sudah dilamar saudaranya. Seseorang wanita itu tidak boleh mengharapkan perceraian wanita lain dengan tujuan ia dapat menggantikan tempatnya.”

Hari ini, kegagalan rumah tangga tidak menjadi aib kepada masyarakat, malah ada yang berbangga meruntuhkan `masjid` yang dibina. Hakikat ini mungkin kerana perceraian bukan lagi perkara luar biasa sebaliknya berlaku kepada sesiapa saja. Suami yang tidak beriman melafazkan talak dengan begitu mudah semata-mata kerana ingin berkahwin lain dan meninggal-kan segala masalah yang timbul sesudahnya.

Sekiranya ingin berpoligami seperti dituntut sunnah, perkara seperti ini tidak akan berlaku kerana antara tujuan poligami ialah untuk membantu wanita yang tiada perlindungan, lebih-lebih lagi perlindungan agama dan mereka ini pastinya dialu-alukan menjadi ahli keluarga yang sedia ada.

Sesebuah rumah tangga yang terbina dengan kasih sayang dan cinta antara suami dan isteri pastinya tidak akan tergugat andai ditimpa apa juga masalah pun. Kegagalan komunikasi yang memungkinkan keretakan perhubungan juga tidak akan timbul sekiranya suami tahu peranan sebagai seorang ketua dan pembimbing dalam rumah tangga.

Mana mungkin suami tidak bertegur sapa dengan isteri, sedangkan suara hati perlu diluahkan melalui senyuman dan kata-kata yang indah. Teguran dan nasihat yang baik juga perlu sentiasa disampaikan kepada isteri supaya bimbingan berterusan terlaksana seperti diperintahkan Allah SWT ke atas setiap suami.

Justeru, sekiranya suami dan isteri saling memahami peranan masing-masing seperti digariskan oleh agama, sudah pasti tiada masalah berlaku dalam rumah tangga, apatah lagi terjatuh cinta dengan orang lain sedangkan sudah ada pasangan yang halal didampingi.

Paling penting, jangan ada yang mengharapkan supaya rumah tangga yang dibina orang lain runtuh akhirnya kerana nafsu serakah yang jahat. Sebaiknya, doakan kerukunan rumah tangga sesiapa berpanjangan kerana sesungguhnya tiada tempat paling bahagia di dunia ini melainkan di dalamnya ada suami, isteri dan anak.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang dan Syariah, Universiti Sains Islam Malaysia
~Sumber dari http://www.bharian.com.my

Memperkasa kepemimpinan lelaki sebagai ketua keluarga

Oleh Mohd Zamri Shafie

‘Kedayusan’ pengurusan keluarga, kecetekan ilmu agama punca pelbagai gejala dalam masyarakat

LELAKI mengalami kepupusan kerana ramai dimasukkan ke pusat serenti sedangkan perempuan pula ramai ke universiti. Kenyataan itu adalah sindiran tajam, sinis dan pedih telinga kepada golongan Adam untuk mendengarnya.

Hakikat itu hendaklah dijadikan agenda utama bagi memperkasakan kepemimpinan lelaki sebagai ketua keluarga, masyarakat dan negara. Memperkasakan golongan lelaki perlu disemarakkan bagi memacu perubahan dan kemajuan sesebuah tamadun serta bangsa dan.

Penggemblengan tenaga dan idea semua pihak amat diperlukan dalam memperkasakan lelaki dengan segala kekuatan. Allah menuntut umat Islam memperkasakan kepemimpinan lelaki mengimarahkan bumi ini selaras tuntutan syariat Islam.

Firman Allah yang bermaksud: “Kaum lelaki adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah melebihkan lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas perempuan dan kerana lelaki sudah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan salih itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya) dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa juga yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolongan-Nya.

Dan perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur dan (jika mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.” � (Surah An-Nisa’, ayat 34)

Ayat itu menunjukkan kelebihan dan tanggungjawab lelaki antaranya, kelebihan lelaki dengan beberapa ketinggian dan kemuliaan seperti suami bertanggungjawab mendidik isteri dan anak-anak memahami ilmu keagamaan dan adab tatasusila serta cara hidup Islam.

Di samping itu, antara tugas hakiki golongan Adam ialah memberi nafkah kepada isteri, anak-anak dan seluruh ahli keluarga yang di bawah tanggungannya. Oleh itu, tepatlah pemilihan lelaki sebagai pemimpin.

Sejarah penciptaan Adam sebagai manusia pertama yang sanggup menerima amanah dan tanggungjawab sebagai khalifah dan hamba Allah adalah ketentuan sudah ditetapkan. Allah sebagai Khaliq membentangkan amanah kepada manusia pertama diciptakan seterusnya generasi lelaki yang dilahirkan selepas itu.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami sudah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.” � (Surah al-Ahzab, ayat 72)

Imam al-Qurtuby dalam tafsirnya menyatakan, Islam mengajarkan umatnya khususnya lelaki menjadi manusia bertanggungjawab dengan amanah yang dibebankan ke atas dirinya. Amanah itu meliputi seluruh hidup dan orang berada di sekelilingnya.

Semua manusia mempunyai tanggungjawab masing-masing sama ada kecil atau besar. Semua tanggungjawab itu akan ditanya di akhirat kelak dan disebabkan itu hendaklah dilaksanakan dengan penuh amanah serta ikhlas.

Daripada Ibn Umar, katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepemimpinannya. Ketua adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepemimpinannya. Kaum lelaki pemimpin kepada keluarganya dan akan ditanya mengenai kepemimpinannya. Perempuan adalah pemimpin dalam rumah tangga suaminya dan akan ditanya kepemimpinannya. (Orang suruhan) adalah pemimpin (penjaga) hartanya dan dia juga akan ditanya mengenai penjagaannya. Setiap kamu adalah pemimpin yang akan ditanya kepemimpinannya.” � (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kegagalan dalam kepemimpinan akan mewujudkan kepincangan pengurusan keluarga, akhirnya melahirkan permasalahan sosial yang teruk dan memberi impak kepada masyarakat serta negara. Ia juga dilihat berpunca daripada kecetekan ilmu dan kefahaman peranan serta matlamat diciptakannya.

Kepincangan dilihat bilamana ayah tidak berani menegur anaknya yang tidak bersembahyang, tidak berani menegur isteri yang tidak menutup aurat kerana takut dan bimbang di sebalik ‘kedayusan’ tertanam dalam dirinya.

Perbaikilah diri dan fahamilah matlamat hidup di dunia sementara ini demi perjalanan yang tidak pasti nasib sama ada beroleh keuntungan atau kerugian di akhirat sana. Manusia akan terlalai dengan dunia, rugi nasibnya di dunia, pasti di akhirat akan lebih merana.

Jadilah manusia beruntung di dunia yang pasti beroleh keuntungan di akhirat. Hayatilah firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah At-Taubah, ayat 71)

sumber~ http://www.bharian.com.my

Isteri beriman bantu kekal kebahagiaan rumah tangga

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
salidasuhaila99@yahoo.com

Sejarah membuktikan wanita bertakwa, taat kepada suami mampu bentukkeluarga harmoni

BERGELAR seorang wanita tidak lengkap kalau tidak menjadi isteri dan ibu. Tetapi tidak semua orang bertuah bertemu jodoh sebelum ajalnya tiba, ada juga yang sudah lama berkahwin tetapi tidak dikurniakan cahaya mata.

Semuanya ada hikmah yang tidak ternilai di sisi-Nya, cuma manusia yang tidak arif meneropong kehidupan bakal tiba. Isteri yang taat kepada Allah akan taat kepada suaminya, selagi suaminya tidak bermaksiat kepada Allah.

Apa juga kekurangan dan kelemahan suami tidak menjadi halangan untuk isteri yang sedar dengan petunjuk agama terus berbakti dalam rumah tangga. Semua dilakukan untuk mendapatkan keredaan suami yang akhirnya menjadi keredaan Allah.

Banyak teladan buat seorang isteri yang benar-benar ingin melandasi kehidupan rumah tangga dengan sebaiknya. Saidatina Khadijah binti Khuwailid dan Saidatina Aisyah binti Abu Bakar adalah ibu mukminin yang sentiasa memberi peringatan dan jalan terbaik untuk dicontohi setiap isteri.

Juga, Fatimah Az-Zahrah, puteri Nabi Muhammad SAW contohnya, seorang isteri yang taat dan patuh kepada suaminya, Ali bin Abi Talib. Tidak pernah sekelumit ada rasa kesal di hatinya apabila berkahwin dan mengurus rumah tangga walaupun dengan penuh susah payah.

Asma’ binti Abu Bakar pula sentiasa komited berbakti kepada suaminya, Zubair, walaupun orang yang dinikahinya tidak mempunyai apa-apa harta melainkan seekor kuda. Itulah akhirnya yang menjadi urusan isteri bergelar Asma binti Abu Bakar, memberikan makan dan minum kepada kuda suaminya dan menjadi pembantu setia dalam urusan rumah tangga.

Sebagai seorang yang bergelar mukminah, wanita harus sedar pergaulan dengan suami bukan sekadar hubungan sosial yang terjadi dengan sendirinya apabila lebih dari seorang individu memulakan urusan hidup.

Tetapi ia adalah satu jalan yang mempunyai terlalu banyak persimpangan, yang mana jika kita tidak tersesat melaluinya, ia membawa seseorang hamba itu sampai ke negeri abadi dan berbahagia di sana selama-lamanya, bahkan perbuatan baik si isteri turut memberatkan timbangan pahala suami apabila dihisab kelak.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika seseorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada Ramadan, menanti suaminya dan menjaga kehormatannya, maka dikatakan kepadanya, masuklah ke dalam syurga melalui pintu mana saja yang kamu kehendaki” � (Hadis riwayat Ahmad dan Thabrani)

Isteri yang cantik di mata suami sudah tentulah yang berupaya memenuhi keinginan suami dalam pergaulan, pertuturan, makan dan minum, pakaian dan keselesaannya sewaktu berada di rumah. Kediaman kemas dan bersih adalah bonus buat suami yang berharap rumah tangganya menjadi syurga paling indah buat dirinya bersama isteri dan anak.

Begitu juga hidangan enak buat santapan ahli keluarga yang sentiasa ternanti-nanti air tangan si isteri atau ibu tidak terbanding makanan lain. Pakaian yang elok dan sentiasa terjaga rapi sudah tentulah menjadi satu keseronokan yang mungkin tidak dapat diperoleh jika tidak beristeri.

Isteri yang taat juga adalah yang tidak berpuasa sunat jika suami ada di sisinya tanpa izin suaminya dan tidak membenarkan sesiapa pun masuk ke rumahnya tanpa kebenaran suaminya terlebih dulu. Isteri juga tidak berinfak, atau bersedekah dan memberikan harta hasil pencarian suaminya kepada sesiapa tanpa izinnya.

Segala bentuk larangan adalah semata-mata untuk menjaga keharmonian rumah tangga supaya sentiasa sarat dengan kasih sayang dan tidak diganggu oleh anasir yang boleh meruntuhkan kebahagiaan dibina hanya kerana kejahilan isteri terhadap hukum agama.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak diperbolehkan seorang wanita berpuasa (sunnah) sedangkan suaminya ada di rumah tanpa izinnya. Dan tidak boleh ia memasukkan orang lain ke dalam rumahnya tanpa izin suaminya. Dan tidak pula berinfak daripada harta suaminya tanpa perintah suaminya, jika infak dikeluarkan, maka separuhnya kembali kepada suaminya.” � (Hadis riwayat Bukhari)

Justeru, gambaran seorang isteri yang cantik di mata suami ialah yang hampir sempurna dalam urusan rumah tangga, bukan yang mengkesampingkan tugas seorang isteri sehingga menyerahkan segala-galanya untuk dilakukan pembantu rumah.

Ia bukan saja menyebabkan rasa tidak puas hati suami dan anak, tetapi juga pembantu yang terpaksa menguruskan semuanya sehingga akhirnya tidak dapat berkerja dengan baik. Wanita Islam yang istiqamah, yang tahu bahawa Allah SWT akan memberikan pahala yang besar kerana ketaatan dan baktinya terhadap suami tidak akan melepaskan peluang terbentang di depan mata.

Diriwayatkan daripada Ummu Salamah berkata yang maksudnya: “Wanita mana saja yang meninggal dunia, sementara suami reda dengannya, maka ia pasti masuk syurga.”

Isteri yang derhaka kepada suami, solatnya tidak akan diterima dan segala kebaikan dilakukannya tidak akan terangkat ke langit, sehingga suami reda dan memaafkannya, seperti diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada tiga jenis orang yang solatnya tidak akan diterima dan tidak pula diangkat kebaikannya ke langit, iaitu hamba sahaya yang lari tuannya sehingga ia kembali, lalu meminta maaf kepadanya. Wanita yang membuatkan suaminya marah sehingga suaminya reda kepadanya serta seorang pemabuk sehingga ia sedar.”

Bagaimanapun, isteri yang benar sudah tentulah boleh menentang suami yang salah dan bermaksiat kepada Allah. Kesabaran dan ketabahan isteri yang sanggup mentaati suami ketika ia benar dan sabar ketika dimarahi suami yang salah kerana tidak mentaati perintahnya akan diberikan pahala oleh Allah.

Isteri yang taat kepada suami adalah wanita yang tidak ingkar terhadap perintah Allah dan Rasul-Nya. Justeru, menjadi isteri yang cantik di mata suami bukanlah hanya jelita parasnya, tetapi juga memiliki segala keindahan sebagai seorang layak dicintai dengan penuh kasih dan sayang.

sumber~ http://www.bharian.com.my

Isteri beriman bantu kekal kebahagiaan rumah tangga

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
salidasuhaila99@yahoo.com

Sejarah membuktikan wanita bertakwa, taat kepada suami mampu bentukkeluarga harmoni

BERGELAR seorang wanita tidak lengkap kalau tidak menjadi isteri dan ibu. Tetapi tidak semua orang bertuah bertemu jodoh sebelum ajalnya tiba, ada juga yang sudah lama berkahwin tetapi tidak dikurniakan cahaya mata.

Semuanya ada hikmah yang tidak ternilai di sisi-Nya, cuma manusia yang tidak arif meneropong kehidupan bakal tiba. Isteri yang taat kepada Allah akan taat kepada suaminya, selagi suaminya tidak bermaksiat kepada Allah.

Apa juga kekurangan dan kelemahan suami tidak menjadi halangan untuk isteri yang sedar dengan petunjuk agama terus berbakti dalam rumah tangga. Semua dilakukan untuk mendapatkan keredaan suami yang akhirnya menjadi keredaan Allah.

Banyak teladan buat seorang isteri yang benar-benar ingin melandasi kehidupan rumah tangga dengan sebaiknya. Saidatina Khadijah binti Khuwailid dan Saidatina Aisyah binti Abu Bakar adalah ibu mukminin yang sentiasa memberi peringatan dan jalan terbaik untuk dicontohi setiap isteri.

Juga, Fatimah Az-Zahrah, puteri Nabi Muhammad SAW contohnya, seorang isteri yang taat dan patuh kepada suaminya, Ali bin Abi Talib. Tidak pernah sekelumit ada rasa kesal di hatinya apabila berkahwin dan mengurus rumah tangga walaupun dengan penuh susah payah.

Asma’ binti Abu Bakar pula sentiasa komited berbakti kepada suaminya, Zubair, walaupun orang yang dinikahinya tidak mempunyai apa-apa harta melainkan seekor kuda. Itulah akhirnya yang menjadi urusan isteri bergelar Asma binti Abu Bakar, memberikan makan dan minum kepada kuda suaminya dan menjadi pembantu setia dalam urusan rumah tangga.

Sebagai seorang yang bergelar mukminah, wanita harus sedar pergaulan dengan suami bukan sekadar hubungan sosial yang terjadi dengan sendirinya apabila lebih dari seorang individu memulakan urusan hidup.

Tetapi ia adalah satu jalan yang mempunyai terlalu banyak persimpangan, yang mana jika kita tidak tersesat melaluinya, ia membawa seseorang hamba itu sampai ke negeri abadi dan berbahagia di sana selama-lamanya, bahkan perbuatan baik si isteri turut memberatkan timbangan pahala suami apabila dihisab kelak.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika seseorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada Ramadan, menanti suaminya dan menjaga kehormatannya, maka dikatakan kepadanya, masuklah ke dalam syurga melalui pintu mana saja yang kamu kehendaki” � (Hadis riwayat Ahmad dan Thabrani)

Isteri yang cantik di mata suami sudah tentulah yang berupaya memenuhi keinginan suami dalam pergaulan, pertuturan, makan dan minum, pakaian dan keselesaannya sewaktu berada di rumah. Kediaman kemas dan bersih adalah bonus buat suami yang berharap rumah tangganya menjadi syurga paling indah buat dirinya bersama isteri dan anak.

Begitu juga hidangan enak buat santapan ahli keluarga yang sentiasa ternanti-nanti air tangan si isteri atau ibu tidak terbanding makanan lain. Pakaian yang elok dan sentiasa terjaga rapi sudah tentulah menjadi satu keseronokan yang mungkin tidak dapat diperoleh jika tidak beristeri.

Isteri yang taat juga adalah yang tidak berpuasa sunat jika suami ada di sisinya tanpa izin suaminya dan tidak membenarkan sesiapa pun masuk ke rumahnya tanpa kebenaran suaminya terlebih dulu. Isteri juga tidak berinfak, atau bersedekah dan memberikan harta hasil pencarian suaminya kepada sesiapa tanpa izinnya.

Segala bentuk larangan adalah semata-mata untuk menjaga keharmonian rumah tangga supaya sentiasa sarat dengan kasih sayang dan tidak diganggu oleh anasir yang boleh meruntuhkan kebahagiaan dibina hanya kerana kejahilan isteri terhadap hukum agama.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak diperbolehkan seorang wanita berpuasa (sunnah) sedangkan suaminya ada di rumah tanpa izinnya. Dan tidak boleh ia memasukkan orang lain ke dalam rumahnya tanpa izin suaminya. Dan tidak pula berinfak daripada harta suaminya tanpa perintah suaminya, jika infak dikeluarkan, maka separuhnya kembali kepada suaminya.” � (Hadis riwayat Bukhari)

Justeru, gambaran seorang isteri yang cantik di mata suami ialah yang hampir sempurna dalam urusan rumah tangga, bukan yang mengkesampingkan tugas seorang isteri sehingga menyerahkan segala-galanya untuk dilakukan pembantu rumah.

Ia bukan saja menyebabkan rasa tidak puas hati suami dan anak, tetapi juga pembantu yang terpaksa menguruskan semuanya sehingga akhirnya tidak dapat berkerja dengan baik. Wanita Islam yang istiqamah, yang tahu bahawa Allah SWT akan memberikan pahala yang besar kerana ketaatan dan baktinya terhadap suami tidak akan melepaskan peluang terbentang di depan mata.

Diriwayatkan daripada Ummu Salamah berkata yang maksudnya: “Wanita mana saja yang meninggal dunia, sementara suami reda dengannya, maka ia pasti masuk syurga.”

Isteri yang derhaka kepada suami, solatnya tidak akan diterima dan segala kebaikan dilakukannya tidak akan terangkat ke langit, sehingga suami reda dan memaafkannya, seperti diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada tiga jenis orang yang solatnya tidak akan diterima dan tidak pula diangkat kebaikannya ke langit, iaitu hamba sahaya yang lari tuannya sehingga ia kembali, lalu meminta maaf kepadanya. Wanita yang membuatkan suaminya marah sehingga suaminya reda kepadanya serta seorang pemabuk sehingga ia sedar.”

Bagaimanapun, isteri yang benar sudah tentulah boleh menentang suami yang salah dan bermaksiat kepada Allah. Kesabaran dan ketabahan isteri yang sanggup mentaati suami ketika ia benar dan sabar ketika dimarahi suami yang salah kerana tidak mentaati perintahnya akan diberikan pahala oleh Allah.

Isteri yang taat kepada suami adalah wanita yang tidak ingkar terhadap perintah Allah dan Rasul-Nya. Justeru, menjadi isteri yang cantik di mata suami bukanlah hanya jelita parasnya, tetapi juga memiliki segala keindahan sebagai seorang layak dicintai dengan penuh kasih dan sayang.

Sepuluh pedoman, panduan layari alam perkahwinan

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar
salidasuhaila99@yahoo.com

RUMAH tangga yang bahagia dan aman tenteram menjadi impian suami isteri. Ikatan kasih sayang dua insan dipadukan dengan harapan semoga berkekalan sepanjang hayat. Namun, dalam kehidupan berumah tangga pasti tidak lekang daripada dugaan dan pancaroba yang boleh menggugat kesejahteraan.

Oleh itu, beberapa petua untuk renungan bersama supaya rumah tangga yang terbina kekal aman serta dilimpahi kasih sayang sepanjang masa. Ini perlu bagi mengelak berlaku perceraian yang semakin meningkat.

Renungi pesanan Umamah binti Harith kepada anaknya sebagai petua dalam rumah tangga yang bahagia. Umamah mewasiatkan kepada anak perempuannya yang akan melangsungkan perkahwinan dengan seorang Raja Yamanm, iaitu Al Harith bin Amru.

Dalam wasiat itu, Umamah berkata: “Wahai puteriku, aku ingin memberitahumu 10 perkara sebagai pedoman dan panduanmu dalam melayari alam berumah tangga nanti iaitu jalinkan hubungan dengan suamimu penuh ketaatan, perhatikan tempat menjadi kesenangannya dan jangan sampai dia melihat kepada sesuatu yang buruk atau tercium sesuatu yang busuk.

Hendaklah kamu sentiasa membanggakannya kerana ini akan membuatkannya bertambah kasih padamu. Benarkanlah segala pendapat dan sikapnya nescaya dia akan bersikap lembut terhadapmu.

Kamu hendaklah menguruskan hal ehwal rumah tangga dengan sempurna dan baik. Sentiasalah memelihara diri, keluarga dan kehormatannya. Simpankan segala rahsianya dengan baik, jangan kamu sesekali membantah suruhannya kerana ini akan melukakan hatinya.

Jagalah waktu makannya dan waktu beristirahat kerana apabila perut lapar akan membuatkan darah cepat naik. Begitulah juga dengan tidur yang tidak cukup akan menyebabkan keletihan. Andainya suamimu nanti sedang bergembira, janganlah kamu menunjukkan kesedihan pula, tetapi kamu hendaklah pandai menyesuaikan keadaan dan bijak mengikut suasana hatinya.

Kamu hendaklah sentiasa menghiasi dirimu selalu supaya suamimu nanti berasa senang apabila menatap wajahmu. Jadikanlah dirimu sebagai amah kepadanya. Nescaya nanti suami akan menjadi penolong pula pada dirimu.

Demikianlah 10 petua yang diperturunkan kepada anaknya dan sangat relevan buat kita pada zaman ini, iaitu panduan buat wanita yang akan mendirikan rumah tangga supaya bahtera dilayari bersama suami berada dalam landasan yang betul lagi diredai Allah.

Seperti yang diketahui, pelbagai masalah keruntuhan rumah tangga semakin menjadi-jadi dan tidak menampakkan susutnya. Jadi sewajarnya petua Umamah dijadikan sebagai teladan dan peringatan buat muslimah.

Rumah tangga aman bahagia akan membawa keberkatan hidup dan sentiasa dalam lingkungan rahmat Allah. Apa yang mustahak, kedua-dua suami dan isteri mesti memiliki sikap saling hormati-menghormati dan nilai toleransi tinggi.

Tidak dinafikan wanita menjadi tunjang kepada terbentuknya suasana bahagia dan harmoni. Imam Hasan Al-Banna berkata: “Asas kebaikan bangsa adalah kebaikan keluarga dan kunci kebaikan keluarga adalah kebaikan kaum perempuan, kerana perempuan adalah guru dunia.

“Perempuan yang menggoyang hayunan dengan tangan kanannya dan menggoncang dunia dengan tangan kirinya. Ketenteraman, ketenangan dan perlindungan, itulah kata tepat untuk menggambarkan antara lelaki dan perempuan.

“Seorang perempuan, wahai saudaraku, berlindung pada suaminya untuk memperoleh kekuatan dan kehidupan, sedangkan lelaki berlindung kepada isterinya untuk memperoleh kecintaan dan kehidupan.”

Andainya sikap saling memahami dan bertolak ansur diterap antara suami isteri, fenomena cemburu buta yang berakhir dengan perceraian dapat ditangani. Ini tidak, hal remeh temeh mencetuskan polemik, sehingga membesar menjadi punca keretakan hingga meruntuhkan rumah tangga.

Kehidupan berumah tangga yang sentiasa berpayung pada cahaya keimanan kukuh tidak akan mudah digoncang, malah sentiasa mendapat berkat Allah. Ingatlah, keluarga yang aman bahagia akan melahirkan anak cemerlang.

Anak yang dilahirkan dalam ruang lingkup keluarga harmoni akan memacu landasan hidup sempurna. Wujudlah rumahku, syurgaku, yang menjadi impian semua pasangan. Semua inginkan kebahagiaan melalui gerbang perkahwinan dan Islam menggalakkan perkahwinan untuk mencari ketenangan.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan Allah menjadikan bagimu rumahmu sebagai tempat tinggal (untuk ketenangan).” – (Surah An-Nahl, ayat 80)

sumber~ http://www.bharian.com.my

Tanggungjawab bekas suami beri nafkah, jaga kebajikan zuriat

Soalan:
SAYA ibu kepada empat anak. Dua hasil perkahwinan pertama dan dua lagi daripada perkahwinan kedua. Suami pertama saya bekas penagih sementa-ra suami kedua seorang pegawai berkedudukan tinggi. Sejak berkahwin, beliaulah yang menanggung segala perbelanjaan dan keperluan kami. Bagaimanapun, sejak perceraian berlaku beliau kini tidak lagi menyediakan nafkah buat saya dan anak. Saya tertekan dengan keadaan itu, tambahan anak akan mula bersekolah tahun depan. Saya sudah beberapa kali menyatakan tanggungjawab itu namun bekas suami tidak mengendahkannya. Apa yang harus saya buat?

Ibu bingung,
Petaling Jaya.

Jawapan:
ANAK adalah permata dalam sesebuah perkahwinan. Mereka perlu diberi didikan dan pengawasan yang betul sejak peringkat awal lagi. Ini penting untuk menjamin kebajikan dan hak mereka terjaga sepenuhnya.

Tanggungjawab itu wajar dipikul kedua ibu bapa. Mereka perlu memastikan kebajikan anak terjaga termasuk keperluan makan minum, pakaian, pendidikan, keselamatan serta pengawasan. Ibu bapa perlu memberikan kerjasama dan memainkan peranan masing-masing.

Dalam permasalahan puan, perkara sebegini seharusnya tidak patut berlaku. Suami seharusnya sedar tanggungjawab dan amanah yang diberikan. Mereka tidak boleh mengambil sikap lepas tangan kerana kewajipan menanggung nafkah anak terletak di bahu suami.

Tidak kira siapapun penjaganya, baik ibu mahupun bapa, suami tetap orang yang wajib mengeluarkan perbelanjaan untuk anak. Puan berhak menuntut hak anak daripada suami. Islam menetapkan bahawa suami hendaklah menanggung nafkah anak.

Ia juga bertepatan dengan peruntukan undang-undang Keluarga Islam di Malaysia seperti dinyatakan dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003: “Kecuali jika sesuatu perjanjian atau perintah mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.”

Dalam kes puan, apa yang perlu dilakukan adalah mengajukan permasalahan ini ke Mahkamah Syariah. Tidak ada jalan lain yang lebih baik selain memfailkan tuntutan nafkah anak. Jika dibiarkan berterusan, keadaan itu sudah tentu akan menjejas kebajikan anak.

Bagaimanapun, harus diingat bahawa puan perlu menuntut nafkah anak ke atas bapa mereka saja memandangkan puan memiliki anak daripada dua perkahwinan.

Puan bernasib baik kerana sebelum perceraian berlaku, nafkah anak daripada perkahwinan pertama ditanggung suami kedua. Sepatutnya ia menjadi tanggungjawab bekas suami pertama. Suami kedua puan sebenarnya wajib mengadakan nafkah buat anak beliau dengan puan.

Jika suami puan tidak lagi mahu menanggung nafkah anak bersama bekas suami pertama, itu tidak menjadi kesalahan baginya. Meskipun sebelum perceraian, beliau yang menanggung perbelanjaan itu.

Puan perlu memohonnya dari bekas suami pertama puan.

Puan perlu mengajukan permohonan berasingan terhadap kedua-dua suami. Jumlah yang dimo-

hon juga bergantung kepada keperluan anak di samping melihat kemampuan sebenar bapa mereka. Segala butiran keperluan anak perlu dikemukakan kepada mahkamah bagi memudahkan keputusan dibuat.

Persoalan berkaitan kes ini, seharusnya ibu dan bapa sedar akan peranan masing-masing. Tidak perlu wujud jurang yang memisahkan anak daripada ibu dan bapa mereka. Kanak-kanak sebenarnya memerlukan penjagaan dan pengawasan daripada kedua-dua pihak.

Mereka akan membesar dengan sempurna jika ibu bapa yang bercerai memainkan peranan dengan betul. Tidak wajar adanya persengketaan dalam hak jagaan anak, perselisihan menentukan hak lawatan anak, kealpaan mengadakan nafkah anak.

Ini semua faktor yang boleh menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu. Ibu bapa yang sudah bercerai wajar memberikan sepenuh kerjasama menjaga, mengawas dan menyediakan keperluan anak bagi menjamin mereka mendapat didikan sempurna dan membesar seperti sepatutnya. Kepentingan serta kebajikan anak perlu diutamakan berbanding kepentingan dan keperluan pihak yang bertikai.

sumber~ http://www.bharian.com.my

Poligami bukan sekadar mampu kewangan

Islam menetap lima hukum perkahwinan untuk menjaga hak isteri, institusi keluarga

SEJAK akhir ini, pelbagai kisah mengenai poligami membabitkan artis serta tuntutan fasakh dilaporkan media. Untuk pengetahuan ustaz, saya sudah berkahwin dan buat masa ini tidak terlintas untuk berpoligami kerana menyedari tanggungjawab serta kemampuan diri terbatas. Namun, ramai rakan di pejabat, sebaliknya memperlekeh isu poligami ini. Persoalannya, apakah hukum poligami? Siapa yang layak berpoligami? Bagaimana adab untuk si suami memaklumkan isterinya dan apakah yang harus dilakukan isteri jika suami mahu berkahwin lagi.

Zulkifli S,
Klang.

MENJAWAB soalan yang pertama mengenai hukum, ada baiknya jika dikemukakan sejarah poligami dalam Islam. Allah SWT berfirman dalam ayat ketiga surah al-Nisak, maksudnya: “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwin dengan sesiapa yang kamu berkenan daripada perempuan (lain); dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak berlaku adil (antara isteri kamu) maka (berkahwin) seorang saja, atau (pakai) hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”

Menurut pentafsir, contohnya dalam kitab al-Tafsir al-Muyassar, ayat ini diturunkan bagi memberikan kelonggaran kepada penjaga (wali) anak yatim untuk mengahwini gadis lain jika dibimbangi timbul masalah kerana mengahwini gadis yang juga anak yatim di bawah jagaan mereka. Ia termasuk masalah mahar yang sepatutnya diberikan kepada anak yatim itu.

Menurut Ibn Kasir dalam tafsirnya, menyatakan tradisi masyarakat Arab pada zaman dulu untuk menikahi gadis yang kematian ayah yang kaya bertujuan membolot harta yang ditinggalkan. Tambahan pula jika gadis itu cantik memikat. Ia antara riwayat daripada Aisyah RA seperti yang diriwayatkan al-Bukhari dalam sahihnya.

Poligami ini pada dasarnya dibenarkan Islam mengambil kira perkara tertentu, contohnya isteri mengalami penyakit menyebabkan dia tidak dapat memenuhi tuntutan seksual suami.

Apabila perkahwinan yang tujuannya memberikan keseronokan syahwat secara halal tidak lagi berperanan, Islam membenarkan perkahwinan dengan isteri kedua untuk menyelamatkan keadaan itu.

Apabila kita mengkaji sirah Nabi, perkahwinan Baginda secara poligami dengan sembilan isteri pada suatu masa sebenarnya mempunyai pelbagai hikmah antaranya, ia pembelaan kepada mereka termasuk isteri bernama Saudah, Ummu Habibah dan Ummu Salamah.

Isteri lain pula dikahwini untuk menjadi hukum yang akan dipegang umat Islam berkaitan perkahwinan dengan isteri anak angkat seperti berlaku pada Zainab.

Ada juga perkahwinan Baginda dengan golongan Yahudi seperti Safiyyah bertujuan sebagai dakwah. Amalan Nabi ini akhirnya menjadi ikutan sahabat yang datang selepas itu, hampir semua mengamalkan poligami seperti Nabi SAW.

Namun, harus diingat poligami yang dibenarkan menuruti ketetapan syarat. Syarat ini diletakkan sebagai dasar bagi mengelakkan kezaliman kepada wanita, khasnya pada zaman mutakhir ini apabila poligami menjadi faktor utama pengabaian tanggungjawab kepada isteri dan anak.

Antara syarat diletakkan fuqaha terhadap suami yang ingin mengamalkan poligami ialah:

* Mampu adil dengan isteri seperti firman Allah SWT dalam ayat ketiga surah al-Nisak.
* Mampu menghadapi ujian kehidupan poligami kerana suami harus bijak mengendalikan permasalahan semua isteri tanpa mengabaikan hak Allah ke atas mereka.
* Mampu memenuhi keperluan isteri. Jika lelaki beristeri lebih gagal memenuhi tuntutan seksual isteri, dibimbangi isteri terbabit maksiat.
* Mampu memberi nafkah kepada isteri tanpa berlaku zalim dalam pembahagian itu.

(Untuk maklumat lanjut rujuk Kitab Ensiklopedia Fiqh karangan Ab Malik Kamal Sayyid Ibrahim cetakan Pustaka Ibn Kasir, Jakarta).

Berdasarkan huraian di atas, dapat kita fahami sekalipun hukum poligami pada asalnya harus, ia bertukar kepada hukum lain seperti berikut :

* Wajib � Jika dibimbangi seseorang lelaki terjerumus melakukan maksiat.
* Sunat � Sekiranya dengan perkahwinan dapat memberikan perlindungan kepada wanita yang memerlukan perlindungan.
* Harus � Dalam keadaan umum, apabila yakin dapat menjaga kepentingan semua isterinya.
* Makruh � Apabila perkahwinan disebabkan memenuhi tuntutan syahwat semata-mata tanpa mengadakan kajian dan mesyuarat dengan orang berilmu dan salih.
* Haram � Sekiranya perkahwinan dilakukan untuk menganiaya sesuatu pihak sama ada isteri yang sudah sedia dinikahi atau bakal isteri.

Indahnya Islam seperti dikatakan ulama seperti al-Ghazali dalam al-Mustasfa dan Ibnul Qayyim dalam I’lam al-Muwaqqa’in yang mana objektif utama membawa keselamatan kepada umat.

Apa yang menjadi masalah hari ini ialah poligami berlaku dengan sewenang-wenangnya tanpa kajian mendalam terhadap kemampuan diri.

Tidak dinafikan lelaki mampu dari sudut kewangan, tapi dia juga harus mampu memberi keutamaan pendidikan dan kefahaman Islam terhadap isteri.

Saya mencadangkan lelaki yang ingin berpoligami mengikuti saranan Nabi iaitu mengutamakan aspek agama di samping kecantikan. Berapa ramai lelaki tertipu dalam perkahwinan kedua dengan memilih isteri jelita, malah ada yang sebaya anak sendiri. Akhirnya perkahwinan itu berakhir dengan cepat kerana isteri mudanya tidak mempunyai kefahaman agama.

Ambil pengajaran daripada amaran Nabi SAW dalam hadis: “Janganlah kamu mengahwini seseorang wanita kerana kecantikannya kerana kecantikannya akan menghancurkannya. Jangan kamu kahwini kerana hartanya kerana harta itu akan menjadikan mereka melampaui batas, tetapi kahwinilah dia kerana agamanya… (Riwayat Ibn Majah).

Menjawab soalan kedua, saya mencadangkan isteri yang menghadapi perkara ini muhasabah diri. Kemungkinan ada sikap kita yang kurang disenangi suami seperti tidak menjaga penampilan diri yang turut membabitkan sikap, kata-kata dan penjagaan rupa. Suami hakikatnya kerap mengadu masalah isteri selekeh dan tidak menggoda.

Perkara kedua yang perlu dilakukan ialah kembali kepada Allah SWT dengan melakukan solat sunat hajat, tahajud dan dhuha. Sebagai contoh, Nabi bersabda dalam hadis sahih: “Wahai anak Adam, kerjakanlah olehmu dua rakaat Dhuha, nescaya akan kupenuhi segenap hajatmu pada hari itu.”

Wanita juga digalak berpuasa sunat kerana doa orang yang berpuasa diterima Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 153: “Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang yang sabar.”

Ramai ulama contohnya al-Baidhawi mentafsirkan maksud sabar ialah puasa. Terakhir, bermesyuarat dengan suami menerusi pendekatan paling disenangi dengan mempamerkan rasa hormat tanpa memperkecilkan dirinya sehingga menyebabkan dia hilang pertimbangan. Kehadiran orang salih yang dikenali juga mungkin berperanan besar terhadap suami agar memikirkan semula kewajaran tindakannya itu.

sumber~ http://www.bharian.com.my

Ibu diceraikan selepas bapa dibenar berpoligami

Selain memfailkan tuntutan mutaah bekas isteri boleh tuntut edah, harta sepencarian Soalan:
SAYA ingin bertanya mengenai status kedua ibu bapa saya. Bapa sudah memohon ke Mahkamah Syariah untuk berpoligami dan mahkamah sudah membenarkan. Bagaimanapun, selang beberapa minggu kemudian bapa menceraikan ibu depan saya, kakak dan bapa saudara. Pada keesokan harinya bapa saya berkahwin lain sedangkan perceraian dengan ibu tidak dimaklumkan kepada Mahkamah Syariah. Apakah tindakan yang perlu dilakukan ibu saya dan adakah ibu saya berhak mendapat mutaah dan lain-lain hak selepas perceraian.

Anak risau,
Selangor

Jawapan:
Langkah pertama yang perlu dilakukan ibu anda adalah memfailkan kes bagi mengesahkan perceraian di Mahkamah Syariah seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 57 (1)(2)(3) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 .

Permohonan pengesahan lafaz cerai ini boleh dimohon sama ada oleh ibu atau bapa sebagai suami dan sewajarnya didaftarkan dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh lafaz.

Dalam menentukan sah atau tidak sesuatu perceraian, mahkamah akan melihat kepada bentuk lafaz cerai sama ada lafaz sareh (nyata) atau kinayah (tidak nyata). Jika lafaz kinayah, niat bapa ketika melafazkan cerai akan diambil kira bagi menentukan sama ada jatuh talak atau sebaliknya.

Sebaliknya jika lafaz nyata seperti, “Saya ceraikan awak dengan talak satu”, mahkamah tidak memerlukan niat suami untuk mengesahkan sesuatu lafaz cerai kerana lafaz itu tidak boleh dipertikaikan kerana ia jelas bermaksud untuk menceraikan isteri.

Perlu diingat, perceraian di luar mahkamah tanpa kebenaran mahkamah satu kesalahan yang boleh didenda tidak lebih daripada RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali. Kesalahan itu diperuntukkan mengikut Seksyen 126 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.

Selanjutnya, merujuk kepada isu mutaah pula, seorang isteri hanya boleh menuntut mutaah selepas sah berlaku perceraian antara suami isteri. Ia bermakna hanya selepas Mahkamah Syariah memutuskan berlaku perceraian antara ibu dan bapa, barulah ibu anda boleh menuntut mutaah.

Sesungguhnya pemberian mutaah kepada isteri bertujuan meringankan beban ditanggung bekas isteri yang akan memulakan penghidupan baru secara sendirian. Pemberian mutaah diharap dapat menjadi penawar kepada perceraian yang berlaku.

Mengikut Seksyen 58 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, “Selain daripada haknya untuk memohon nafkah, seorang perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mutaah atau pemberian sagu hati kepada mahkamah dan mahkamah boleh selepas mendengar pihak itu dan apabila berpuas hati memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut hukum syarak.”

Isu utama yang akan diputuskan oleh mahkamah dalam kes pemberian mutaah adalah apakah perceraian benar-benar berlaku, adakah isteri diceraikan tanpa sebab yang patut dan berapa kadar akan diberikan kepada isteri diceraikan?

Mengikut hukum syarak, mutaah adalah pemberian wajib oleh suami yang menceraikan isteri berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “� dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat mutaah dengan cara yang baik.” (Surah al-Baqarah, ayat 241)

Dalam menentukan kadar mutaah kepada isteri, Allah berfirman yang bermaksud: “Hendaklah kamu memberikan mutaah (iaitu pemberian sagu hati) kepada mereka yang diceraikan itu, iaitu suami yang senang hendaklah memberikannya menurut ukuran kemampuannya dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian sagu hati menurut apa yang patut, lagi menjadi kewajipan ke atas orang yang mahu berbuat kebaikan.” (Surah Al-Baqarah, ayat 236)

Berdasarkan ayat itu, kadar mutaah bergantung kepada kemampuan suami, namun begitu ia juga ditentukan berdasarkan kedudukan isteri, sumbangan isteri kepada perkahwinan dan kerosakan serta kemudaratan dialami disebabkan perceraian yang berlaku tanpa sebab.

Jika mahkamah memutuskan perceraian yang berlaku antara ibu bapa anda tidak sah, ia bermakna ibu tidak boleh menuntut mutaah. Namun, jika mahkamah mensabitkan perceraian itu sah maka barulah timbul hak mutaah ibu terhadap perceraian yang berlaku.

Memandangkan mahkamah sudah membenarkan bapa anda berkahwin lain, saya percaya mahkamah juga memerintahkan jumlah tertentu pemberian nafkah isteri kepada ibu anda yang perlu dibayar oleh bapa, begitu juga dengan pengisytiharan harta sepencarian.

Ia seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 23(10) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (2003) yang memberi kuasa kepada mahkamah membenarkan poligami atas permintaan mana-mana pihak kepada perkahwinan menghendaki seseorang membayar nafkah kepada isteri dan memerintahkan apa-apa aset yang diperoleh pihak dalam tempoh perkahwinan dibahagi antara mereka atau supaya aset itu dijual dan hasilnya dibahagi.

Ia bermaksud ibu anda boleh meminta pemberian nafkah dan harta sepencarian turut diputuskan dalam perbicaraan poligami terdahulu bagi membolehkan perintah nafkah isteri dan harta sepencarian dikeluarkan serentak kebenaran poligami.

Namun begitu, jika ibu anda disahkan oleh mahkamah sudah bercerai, tindakan selanjutnya yang boleh diambil selain memfailkan mutaah ialah memfailkan tuntutan edah dan harta sepencarian yang diperoleh dalam tempoh perkahwinan.

Jawapan disediakan Penolong Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Marlina Amir Hamzah

sumber~ http://www.bharian.com.my/