Ilmu Hitam (Sihir – Pukau)

8 beradik putih mata

Oleh Mary Victoria Dass dan Intan Mas Ayu Shahimi
am@hmetro.com.my

2011/05/19

JOHOR BAHRU: Terpedaya dengan muslihat seorang bomoh yang mendakwa mampu mengembalikan harta arwah nenek moyang mereka yang dikatakan bernilai RM2.8 juta, lapan beradik kerugian RM62,285 yang dibayar kononnya sebagai zakat dan kos upacara meraikan ‘mahaguru.’

Mangsa, Nazri Mohd Noor, 40, berkata, bomoh berusia 37 tahun itu licik menipu dia dan tujuh adik-beradiknya yang lain termasuk mengadakan satu ‘demonstrasi’ khas kemampuannya mengembalikan sebahagian daripada harta bernilai RM2.8 juta itu dalam bentuk wang tunai.

“Kami berkenalan dengan lelaki itu melalui seorang rakan pada 27 Mac lalu dan tertarik dengan keistimewaannya, antaranya mampu melihat dan berkomunikasi dengan pemegang amanah alam ghaib.

“Lelaki yang tinggal di Masai itu memberitahu sudah tiba masanya keluarga kami memiliki kekayaan nenek moyang kami yang keseluruhannya bernilai RM2.8 juta dan dia mampu menukar harta itu dalam bentuk wang tunai untuk kami.

“Bagaimanapun, kami terlebih dulu perlu membayar wang ‘zakat’ RM53,000. Selepas berbincang, kami adik-beradik setuju membenarkan lelaki itu mengadakan upacara menzahirkan duit berkenaan di kampung kami di Kelantan, pertengahan April lalu,” katanya kepada Harian Metro.

=========================================================================

Ketagih ganti isteri

Oleh Zaid Salim
am@hmetro.com.my
22 Mei 2010

KUALA TERENGGANU: Dia bukan saja kemaruk berpoligami hingga memiliki 27 anak hasil 11 perkahwinan, malah turut mengamalkan amalan jijik dengan memaksa isteri minum air kencingnya supaya menuruti segala perintahnya, selain amalan menjadikan anak dara sebagai koleksi terbaru teman hidupnya.

Lebih mengejutkan, lelaki berusia 52 tahun yang didakwa memiliki ilmu memikat wanita itu turut bersikap pelik apabila kerap bertukar isteri ketiga dan keempat seperti menukar baju, malah ada antara mereka hanya seminggu bergelar isteri sebelum diceraikan.
Poligami pelik lelaki itu dibongkar bekas isteri keempat lelaki terbabit yang berpisah pada 2005 lalu selepas bergelar isteri tiga tahun.
“Saya berpisah dengannya hanya kerana kesalahan kecil, tetapi tidak pernah menyesal sebaliknya bersyukur kerana bagaikan terlepas mulut buaya.
“Saya akui sejak bersamanya tiga tahun, zahir dan batin saya terseksa selain didera kerana kesalahan kecil,” katanya yang hanya ingin dikenali sebagai Su berusia 27 tahun.
Dia berkata, selama bersama lelaki terbabit, dia bagaikan dipukau kerana tidak berdaya melawan, menegah atau menegur perlakuan dan perangai bekas suaminya termasuk membawa balik wanita lain ke rumah. Katanya, keadaan itu bukan hanya dia mengalaminya, malah tiga madunya turut berdepan keadaan sama.
“Lebih baik bergelar janda daripada terseksa hidup bersama dia,” katanya.
Su yang kini hidup bahagia bersama suami baru mendakwa selain memiliki ilmu memikat wanita, lelaki terbabit mengamalkan amalan jijik apabila memaksa wanita dikahwininya meminum air kencingnya.
“Dia meminta saya melakukan seks oral dan pada masa sama memaksa saya menelan air kencingnya. Selepas berbuat demikian saya seperti dipukau serta apa saja dilakukannya tanpa sebarang bantahan walaupun ada kalanya timbul perasaan marah dan tidak puas hati dengan setiap perbuatannya,” katanya.

Mengimbau kembali pertemuannya dengan lelaki terbabit, Su berkata, dia mula jatuh cinta dan sukar melupakan lelaki terbabit selepas dihembus asap rokok ketika berkunjung ke rumah keluarganya di Kuala Berang pada 2003.
“Ibu bapa saya sudah lama mengenali dia dan setiap kali berkunjung ke rumah, dia melahirkan hasrat untuk melamar saya, namun saya menolak kerana tidak pernah menyintainya yang ketika itu memiliki tiga isteri.
“Walaupun tahu saya tidak sukakannya, namun dia tetap berusaha dan tidak putus asa memujuk dengan apa cara termasuk menggunakan ilmu memikat wanita menggunakan asap rokok,” katanya.
Menurut Su, dia masih ingat apabila lelaki terbabit mengarahkan dia duduk berlawanan angin ketika bersembang di beranda rumah sebelum menghembuskan asap rokok ke arahnya sambil membaca mantera dipercayai ayat memikat wanita.

Katanya, walaupun dia tidak menyimpan perasaan terhadap lelaki yang layak dipanggil ayah itu, namun dia tidak berdaya menolak setiap arahan lelaki terbabit dan menurut apa saja bagaikan dirinya dipukau.
“Selepas terkena hembusan rokok lelaki terbabit, saya menjadi resah dan tidak senang duduk seolah-olah angau apabila tidak dapat melupakan lelaki terbabit sebelum bersetuju menerima lamarannya tiga hari kemudian,” katanya.
Dia berkata, selepas bergelar isteri lelaki terbabit, kehidupannya berubah apatah lagi tinggal berhampiran tiga madunya di sebuah kampung di pinggir bandar raya ini.
Katanya, selepas tiga hari bergelar isteri, dia terkejut dan mengesyaki lelaki terbabit mengamalkan ilmu salah apabila memaksa dia menelan air kencing ketika melakukan seks.
Menurutnya, selain amalan itu, tindakan lelaki terbabit mengadakan hubungan kelamin hanya di rumah isteri ketiga juga dirasakan pelik, malah lebih membingungkan dirinya apabila semua isteri dikehendaki berkumpul di rumah berkenaan sebelum melakukan seks.
“Ketika berkumpul, dia akan memilih seorang isteri yang dia suka untuk melakukan persetubuhan dan bukan mengikut giliran,” katanya.
Menurut Su, selepas berkahwin baru dan memiliki dua anak, dia mengakui kehidupannya kini jauh lebih aman dan bahagia bersama suami yang mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga selain menyayanginya sepenuh hati.

sumber~ http://www.hmetro.com.my

==================================================================

Lesap RM200,000 sekali sentuh

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my

GOMBAK: Hanya dengan menyentuh tangan, sekumpulan penjenayah pakar pukau dapat menghilangkan ingatan seorang wanita warga emas untuk melarikan barang kemasnya berjumlah hampir RM200,000.

Sumber polis berkata, penjenayah yang bergerak secara berpasangan berkenaan menggunakan taktik sesat jalan sebelum bertanya mangsa dengan menyentuh tangannya.

Wanita warga emas berusia lewat 50-an itu dihampiri dua lelaki dan dua wanita tidak dikenali berhampiran Taman Daya Kepong, di sini.

Dalam kejadian itu, mangsa berjalan kaki bersendirian untuk pulang ke rumah.

Menurut sumber itu, seorang daripada penjenayah terbabit berpura-pura sesat lalu bertanya arah jalan kepada mangsa.

Bagaimanapun, mangsa enggan melayan pertanyaan itu sebelum cuba meninggalkan suspek yang berusaha mendekatinya.

“Tidak berpuas hati dengan layanan mangsa, suspek berusaha sekali lagi bertanya tetapi sekali lagi tidak diendahkan.

“Penjenayah yang tidak berputus asa bertindak merentap sebelah tangan mangsa secara tiba-tiba menyebabkan mangsa terkejut sebelum tidak sedar apa yang berlaku,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian diarah pulang ke rumah dan mengambil semua wang dan barang kemas disimpan tanpa sebarang alasan.

Mangsa yang seolah-olah menjadi ‘zombie’ hanya akur dengan perintah penjenayah terbabit sebelum pulang ke rumah dan mengumpulkan semua barang kemas dan wang dimiliki.

Tidak cukup dengan itu, mangsa turut diarah pergi ke bank untuk mengeluarkan wang dan barang kemas yang disimpan sekian lama disimpan dalam peti simpanan deposit.

Selepas itu, mangsa menyerahkan semua wang tunai dan barang kemasnya itu kepada suspek.

“Mangsa hanya tersedar daripada dipukau beberapa minit kemudian dan mendapati semua wang tunai dan harta yang disimpan lesap. Dia membuat laporan di Balai Polis Gombak.

“Siasatan polis yakin keempat-empat suspek yang melakukan jenayah pukau berkenaan adalah warga asing. Justeru, orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dengan individu tidak dikenali,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi, berkata pihaknya kini sedang menjalankan siasatan untuk mengesan suspek yang dipercayai pernah terbabit dengan beberapa kes penipuan lain.

Kejadian jenayah pukau dikatakan semakin kerap berlaku kebelakangan ini.

Baru-baru ini, akhbar melaporkan seorang suri rumah mendakwa dipukau wanita tidak dikenali hingga menyebabkan mangsa hilang ingatan lalu menyerahkan semua barang berharga secara sukarela.

Dia yang berusia 30 tahun mendakwa ditenung dan ditegur dua wanita yang mendekatinya ketika dalam perjalanan mengambil anaknya pulang dari tadika di Vista Damansara.

Mangsa yang berdiri di kaki lima kedai tiba-tiba dihampiri dua wanita tidak dikenali yang menyapa dari belakang.

Seorang daripada wanita terbabit menegur mangsa sambil bertanya sama ada mengenalinya selain merenung mata mangsa.

Zikir benteng diri

SEREMBAN: Umat Islam perlu menjauhkan diri daripada mengamalkan ilmu hitam atau amalan syirik yang bertentangan seperti pukau kerana amalan itu akan membuatkan kehidupan mereka tidak mendapat keredaan Allah s.w.t.

Sebaliknya, mereka perlu mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar termasuk mencari rezeki halal kerana ia akan membawa mereka menikmati kehidupan yang baik bukan saja di dunia ini, malah di akhirat.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan, Ekonomi dan Sosial Islam Malaysia (Pekesim), Ghafar Nin, berkata pukau adalah suatu amalan di kalangan mereka yang mengaku Islam, tetapi tidak mengamalkan cara hidup Islam kerana semata-mata untuk mendapatkan kekayaan.

Beliau berkata, amalan itu perbuatan khurafat yang bertentangan dengan ajaran Islam dan kebanyakan dipelopori masyarakat dari negara jiran untuk mendapatkan kekayaan dengan cara yang tidak diredai Allah.

“Bagaimanapun, apa yang menyedihkan sekarang apabila amalan itu diikuti segelintir umat Islam di negara ini hanya semata-mata untuk mendapatkan kekayaaan segera tanpa mempedulikan hukum agama yang menegah melakukan amalan seperti itu.

“Ini kerana pukau adalah perbuatan jahat dan pengamalnya bersubahat dengan syaitan untuk menganiayai orang lain yang tidak berdosa,” katanya.

Beliau mengulas laporan Harian Metro, semalam mengenai aktiviti pukau berdarah yang apabila tujuh wanita dikatakan menjadi mangsa individu tidak bertanggungjawab itu.

Ghafar berkata, pihaknya kesal dengan kejadian itu kerana ketika ini ramai umat Islam mengaku dirinya Islam, tetapi tidak mengamalkan cara hidup Islam sebenar.

“Inilah yang menyebabkan imej Islam itu tercemar kerana segelintir individu yang bertindak berdasarkan hawa nafsu dan sanggup melanggar hukum Tuhan semata-mata untuk kepentingan diri,” katanya.

Beliau menasihatkan umat Islam supaya memiliki benteng diri masing-masing dengan mengamalkan zikir kerana mereka yang sering kali menjadi mangsa pukau adalah kalangan yang jauh daripada amalan Islam termasuk mengabaikan solat.

sumber: http://www.hmetro.com.my

2 thoughts on “Ilmu Hitam (Sihir – Pukau)

  1. bersembunyilah didalam benteng Allah niscaya kamu tidak apa2 yang dapat mengoda dan menganggu anda.Bunuhlah syaitan didalam diri anda dan tenggelam didalam Allah SWT.Pakai zikir untuk bersama Allah,selalulah melawat akhirat bertemu Allah itulah benteng yang tiada dapat dibuka oleh syaitan.Jika kamu terhijab kamu dapat dibaham syaitan pada bila2 masa.TENGGELAMLAH KAMU DIDALAM ALLAH SEMUANYA.

Tinggalkan komen